KUALA LUMPUR – Dagangan niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal memberangsangkan pada minggu depan, didorong oleh faktor ketegangan geopolitik global, kata seorang peniaga.
Beliau berkata, kebimbangan mengenai keadaan politik di Timur Tengah serta perang perdagangan Amerika Syarikat dan China, akan hanya memacu permintaan terhadap emas yang dilihat sebagai aset selamat dan pelaburan alternatif.
“Niaga hadapan emas akan turut menjejaki pergerakan prestasi pasaran hadapan emas di Bursa Komoditi New York (COMEX) pada minggu depan yang diunjur meningkat berikutan jangkaan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menurunkan kadar faedah yang hanya menjejaskan lagi dolar AS,” katanya.
Sepanjang minggu ini, niaga hadapan emas di bursa mencatat aliran peningkatan selama empat hari berturut-turut susulan pertikaian perdagangan yang berlanjutan serta faktor kelemahan ringgit dan prestasi COMEX.
Pada asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak-kontrak Jun 2019, Julai 2019, Ogos 2019 dan September 2019 masing-masing menokok 66 mata kepada RM180.80, RM180.80, RM180.90 dan RM181.00 segram.
Jumlah dagangan mingguan pula meningkat kepada 38 lot bernilai RM676,560 daripada 21 lot bernilai RM370,410 pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 27 kontrak berbanding 38 kontrak.- BERNAMA











