KUALA LUMPUR – Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu menggesa kumpulan Otai Reformis 1998 supaya berhenti dari terus mendesak Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mempercepatkan proses peralihan kuasa.
Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof menegaskan, desakan seumpama itu sehingga mengugut pula untuk turun semula ke jalanan sekiranya Dr. Mahathir gagal mengotakan janjinya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya tidak berlaku.
“Tun Dr. Mahathir sedang giat melaksanakan agenda reformasi. Ada yang mudah, ada yang mesti diteliti dan ada yang khusus disebutkan dalam manifesto perlu ditimbal balik supaya ia boleh dipenuhi dengan lebih praktikal dan munasabah.
“Malah, Dr. Mahathir sedang membina kembali asas yang betul dan kuat untuk memastikan pengganti beliau tidak dibebani masalah yang boleh membebankan bakal pemimpin yang mungkin dilihat belum mempunyai kebolehan sepenuhnya seperti kebolehan keseluruhan yang dipamerkan oleh seorang negarawan ulung bertaraf dunia.
“Tak sabar mereka ni. Pada mereka, agendanya semata-mata jawatan. Rasa kesal dengan kenyataan dan desakan kumpulan ini untuk kembali `demonstrasi di jalanan’ semata-mata nak turunkan PM?
“Apa salah Tun terhadap usaha untuk mengembalikan kesejahteraan negara dan rakyat yang kita nak berdemonstrasi? Adakah ini satu reformasi yang dilaung-laungkan?,” kata Mohd. Redzuan kepada Utusan Malaysia melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan itu mengulas gesaan kumpulan Otai Reformis yang menggesa Dr. Mahathir menetapkan garis masa penyerahan jawatan perdana menteri kepada Anwar yang juga Presiden PKR seperti yang dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini.
Menurut pengerusi kumpulan itu, Dr. Idris Ahmad, gesaan itu dibuat kerana pihaknya melihat prestasi Putrajaya yang `merudum’.
Justeru, kata Idris, Otai Reformis tidak menolak kemungkinan untuk turun semula ke jalan raya sekiranya Dr. Mahathir gagal mengotakan janjinya menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. -UTUSAN ONLINE











