KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang ingin melawat New Zealand akan dikenakan bayaran bagi dokumen perjalanan dan levi untuk memasuki negara berkenaan.
Memetik laporan The Star, dibawah syarat baharu imigresen negara itu yang akan dilaksanakan mulai 1 Oktober depan, rakyat Malaysia yang berkunjung ke New Zealand perlu memiliki Electronic Travel Authority (ETA) dan membayar untuk International Visitor Conservation and Tourism Levy.
Tanpa dokumen terbabit, jabatan Imigresen New Zealand akan menhalang mereka memasuki negara berkenaan ketika mereka tiba.
Kos yang dikenakan bagi ETA dan levi adalah antara NZ$9 (RM24) dan NZ$12 (RM32) dan boleh dimohon menerusi dalam talian.
Menurut laman sesawang Kementerian Perniagaan, Inovatif dan Pekerjaan negara tersebut, syarat baharu itu bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko isu berkaitan imigrasi, penyeludupan dan biosekuriti.
“Langkah ini adalah untuk memperbaiki cara pemeriksaan pelancong sebelum tiba di negara ini serta membantu mengurangkan masa yang diperlukan bagi pemeriksaan dan meningkatkan keselamatan di sempadan.
“Levi yang dikenakan itu adalah bagi menyumbang terus kepada infrastruktur pelancongan dan membantu serta meningkatkan persekitaran semula jadi,” jelas laporan itu.
Dalam pada itu, jelas laporan tersebut, terdapat dua cara untuk memohon ETA sama ada melalui aplikasi mudah alih atau laman sesawang jabatan Imigresen New Zealand.
Laporan itu bagaimanapun memaklumkan permohonan melalui aplikasi mudah alih dan laman sesawang hanya boleh diakses mulai bulan depan.
Tambah laporan itu, permohonan menerusi aplikasi mudah alih lebih murah berbanding laman sesawang.
Pada masa ini, rakyat Malaysia yang melancong ke New Zealand bagi tempoh kurang daripada tiga bulan tidak memerlukan visa.
Malaysia merupakan antara 60 negara menikmati pengecualian visa untuk memasuki New Zealand.
Bagaimanapun, dengan pengenalan ETA, rakyat Malaysia kini perlu memiliki dokumen tersebut walaupun ketika perjalanan transit. – UTUSAN ONLINE.











