ALOR GAJAH – Pihak-pihak yang cuba mencetuskan suasana tidak menyenangkan dengan menyebarkan klip video lucah yang didakwa membabitkan seorang menteri Kabinet perlu menghentikan segera perlakuan tidak sihat tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, apatah lagi rakyat masih dalam peringkat membina kembali negara ini, justeru tidak harus ada gerakan tertentu yang cuba memporak perandakan kesatuan Pakatan Harapan (PH) yang baru setahun berkuasa.
“Kurangkan perkara tidak sihat ini, beri peluang kepada Azmin (Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dalam video berkenaan) menjalankan tugasnya.
“Tidak perlu mengaibkan seseorang. Itu antara dia dan Allah,” kata Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat parlimennya di Dataran Keris di sini malam tadi.
Ditanya sama ada beliau mengetahui pihak atau puak yang cuba mencetuskan suasana tidak menyenangkan itu, Mohd. Redzuan berkata:
“Saya tak pasti orang dalam PH atau luar tetapi kalau lihat hari ini banyak gerakan untuk menimbulkan keraguan dalam masyarakat dicetuskan oleh pembangkang dalam usaha memecahbelahkan kesatuan PH.
“Perlu dicari bukti sahih penglibatan puak-puak ini namun saya yakin ia tidak akan menjadi suatu tanggungjawab (pula) buat kerajaan PH untuk berbuat demikian. Sebab gejala ini tidak produktif.”
Mengulas jika benar individu yang dikaitkan dalam klip video berkenaan adalah Mohamed Azmin, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu itu:
“Jangan sehingga perkara ini mengganggu pentadbiran PH.
“Biar undang-undang yang buat siasatan sama ada hamba Allah yang disabitkan itu benar-benar seperti apa yang diuar-uarkan dalam media sosial.” -UTUSAN ONLINE











