SHAH ALAM – Prihatin keselamatan lima sekeluarga termasuk bayi berusia 20 hari menaiki motosikal, sepasukan polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam membantu mereka pulang ke rumah di Kampung Melayu Subang hari ini.
Bantuan tersebut diberikan empat anggota polis trafik itu pukul 10.30 pagi ketika melalui Lebuh Koridor Guthrie (GCE).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, semasa kejadian keempat-empat anggota trafik yang menaiki sebuah kenderaan peronda jenis Pajero dalam perjalanan ke Jalan Persiaran Mokhtar Dahari dari IPD Shah Alam.
Katanya, sebaik tiba di Seksyen 13 telah terserempak lima sekeluarga itu menaiki motosikal jenis Honda EX5.
“Anggota polis kemudiannya menahan lima sekeluarga itu apabila melihat risiko dihadapi mereka apabila melalui Lebuh Raya GCE.
“Disebabkan rasa prihatin, empat ahli keluarga itu terdiri daripada seorang wanita yang masih berpantang dan tiga anaknya termasuk berusia 20 hari dibawa menaiki kenderaan peronda itu menuju rumah mereka di Kampung Melayu Subang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, keprihatinan empat anggota polis itu tular di laman sosial Facebook Friend Of PDRM dengan mendapat 104 pengkongsian. – K! ONLINE











