MOSCOW – Kepala milik seekor serigala gergasi yang dipercayai mati kira-kira 32,000 tahun lalu ditemui dalam keadaan sempurna ekoran tertanam di dalam tanah beku di kawasan artik Rusia dekat sini, menurut sekumpulan saintis.
Anggota kepala yang masih diselaputi bulu tebal itu ditemui oleh seorang penduduk tempatan di tebing Sungai Tirekhtyakh di wilayah terpencil Rusia, Yakutia pada musim panas lalu.
Ia masih mengandungi bahagian otak, tisu-tisu lembut dan satu set gigi haiwan berkenaan pada kepala yang berukuran 41.5 sentimeter (sm) panjang.
Sebagai perbandingan, bahagian utama tubuh serigala moden tidak termasuk kaki, lengan dan kepala adalah antara 66 hingga 86sm panjang.
Kepala haiwan itu diserahkan kepada ahli paleontologi tempatan yang bekerjasama dengan sekumpulan saintis dari Fakulti Perubatan Universiti Jikei di Tokyo, Jepun untuk mengkajinya.
“Ini adalah penemuan kali pertama,” kata Ketua Penyelidik Fauna Mamot di Akademi Sains Yakutia, Albert Protopoppy kepada agensi berita AFP semalam.
“Sebelum ini, hanya anak serigala yang ditemui,” katanya.
Penyelidikan yang dilakukan mendapati haiwan itu mati kira-kira 32,000 tahun lalu semasa Zaman Pleintocene iaitu pada pembentukan Zaman Ais.
Serigala purba itu dipercayai berumur dua hingga empat tahun apabila ia mati. Zaman Pleintocene merupakan waktu ketika megafauna seperti mamot masih hidup di Bumi.
Protopoppy berkata, ahli sains dari Rusia, Jepun dan Sweden akan meneruskan kajian kepala itu.
“Kami berharap untuk memahami jika ia adalah suatu subspesies,” katanya.
Beberapa spesies serigala purba hidup pada Zaman Ais termasuk serigala dire yang kini pupus serta ditampilkan dalam siri televisyen popular Game of Thrones. – AFP











