BILANGAN Orang Asli di Semenanjung Malaysia sehingga tahun 2018 dianggarkan seramai 178,000 orang. Sejak kematian pertama lelaki Orang Asli pada 29 Mei 2019 berhampiran Lombong Bijih Aring 11, Gua Musang angka itu meningkat kepada 14 orang hampir sebulan lalu. Ini amat menyedihkan.
Dianggarkan terdapat 186 orang daripada masyarakat Asli kaum Batek berada di Kuala Koh. Pelbagai andaian dilaporkan mengenai kematian Orang Asli kaum Batek ini sama ada berpunca dari bahan kimia atau pun mikroorganisma di dalam air. Namun apa jua andaian punca dan sebab tragedi ini berlaku perlu disiasat dengan segera.
Kita tidak perlu membuat andaian atau menuding jari kepada mana-mana pihak. Penyiasatan secara menyeluruh perlu dilakukan untuk menilai kesan aktiviti pembalakan dan perlombongan berhampiran perkampungan Orang Asli ini bukan sahaja kepada kelestarian alam sekitar tetapi kehidupan mereka di situ.
Satu jawatankuasa siasatan perlu ditubuhkan di peringkat kementerian dan jabatan yang berkaitan iaitu Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mendapatkan punca sebenar musibah ini berlaku serta membuat laporan dan cadangan penyelesaian.
Ia perlu melibatkan sama kumpulan profesional dan pemegang taruh serta pemimpin komuniti di kawasan terlibat. Akta yang berkaitan juga boleh dirujuk seperti Akta Kualiti alam sekeliling 1974 (Pindaan 1985) dan perlu dilihat sama ada aktiviti tersebut memerlukan kepada kesan penilaian alam sekitar (EIA) kerana beroperasi di kawasan berdekatan atau pun boleh memberi kesan yang menjejaskan alam sekitar dan kehidupan masyarakat sekeliling.
Jika ada perlanggaran syarat dan peraturan yang telah ditetapkan tindakan yang tegas perlu dikenakan ke atas syarikat yang beroperasi di situ.
Perlombongan bijih besi dan pembalakan merupakan aktiviti yang terdapat di kawasan ini. Namun dilaporkan lombong ini beroperasi secara haram setelah lesennya tamat pada 2017 oleh Kerajaan Pusat. Dipercayai pencemaran air bukit dan anak sungai Lebir dekat Kampung Kuala Koh berpunca daripada aktiviti perlombongan ini. Sementara pembalakan pula dilakukan tidak mengikut prosedur operasi yang standard (SOP).
Berdasarkan tinjauan, didapati operasi pembalakan menyebabkan saliran air sungai tersekat, bertakung dan mendapan lumpur berlaku akibat kesan hakisan. Kawasan penampan sungai juga tidak dipatuhi. Kedua-dua aktiviti ini boleh memberi kesan kepada pencemaran sumber air yang digunakan oleh Orang Asli ini jika tidak dikawal dan dipantau oleh pihak berwajib.
Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang tegas dalam isu penguatkuasaan undang-undang terhadap salah laku dan ketidakpatuhan aktiviti perlombongan dan pembalakan yang merosakkan alam sekitar dan sumber air.
Kerajaan juga disyorkan agar mengkaji dasar-dasar alam sekitar berhubung dengan aktiviti yang dilaksanakan di dalam hutan terutama berkaitan dengan Orang Asli dan masyarakat setempat.
Denda yang dikenakan pada masa ini di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ialah sebanyak RM500,000 maksimum dan penjara maksimum lima tahun. Walaupun kedengaran ianya seperti banyak tetapi kerosakan alam sekitar atau pencemaran yang berlaku boleh mencapai kos berjuta-juta ringgit dan masa yang lama untuk dipulihkan.
Impaknya pula menjejaskan kehidupan orang ramai. Kegagalan pihak berkuasa melaksanakan tugas penguatkuasaan juga sering dipersoalkan. Penguatkuasaan perlu dibuat secara berkala dan mengejut untuk memastikan syarikat mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Undang-undang yang berkaitan dengan Orang Asli termaktub di dalam Akta 134 (Akta Orang Asli 1954 (Disemak-1974). Akta ini digubal dan diluluskan untuk peruntukan perlindungan kesejahteraan dan kemajuan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Masyarakat Orang Asli kaum Batek ini masih mengamalkan kehidupan berpindah randah tetapi sekarang sudah ada yang tidak atau pun separuh nomad. Kesedaran pendidikan dan pengurusan alam sekitar perlu diperhebatkan. Tragedi di Kuala Koh, Gua Musang ini boleh berlaku di tempat lain juga jika kita tidak sedar betapa pentingnya memelihara ekosistem alam sekitar yang menjadi tempat tinggal dan sumber rezeki kebanyakan masyarakat Orang Asli.
Kita mengharapkan tragedi ini menjadi pengajaran kepada kita semua dan masyarakat Orang Asli yang terlibat mendapat pembelaan yang sewajarnya.
PROF. MADYA DR. MOHD. HASMADI ISMAIL ialah Pensyarah Jabatan Pengurusan Hutan, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)











