KOTA BHARU – Seorang tokoh politik dijangka diangkat sebagai peneraju baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah Kamarudin Mohamad berkata, pihaknya sudah menyenarai pendek nama individu yang akan diangkat sebagai presiden baharu nanti.
“Setakat ini ada tiga calon, dua daripada mereka adalah orang politik dan mempunyai pengetahuan asas dalam bola sepak.
“Namun gabungan PBJ masih belum memutuskan siapa yang layak untuk mengemudi KAFA,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan kedua-dua individu daripada Pakatan Harapan itu mempunyai pengetahuan dalam bola sepak malah seorang daripadanya telah terlibat dalam KAFA.
Kamarudin memberitahu, gabungan PBJ juga tidak menolak kemungkinan untuk melantik ketiga-tiga calon itu mengetuai jawatan tertinggi dalam KAFA iaitu presiden, timbalan presiden dan naib presiden.
“Apa yang kami lakukan ini bertujuan untuk menyelamatkan KAFA dan bukan semata-mata mencari presiden baharu sahaja.
“Saya bimbang jika langkah menyelamat tidak dilakukan dengan segara KAFA akan bertambah parah,” ujarnya.
Utusan Malaysia 30 April lalu melaporkan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz menawarkan diri untuk menggantikan Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA.
Bagaimanapun, gabungan PBJ dilihat tidak berminat untuk memilih Amril Aiman untuk mengemudi badan induk itu.
Di bawah kepemimpinan Bibi Ramjani, Kelantan gagal menyerlah selain terpalit dengan beberapa isu terutamanya tunggakan gaji pasukan sehingga TRW
terjerumus dari Liga Super ke Liga Perdana.
Usahawan batik itu, sebelum ini menerima desakan hebat daripada PBJ, kelab penyokong dan bekas pemain untuk melepaskan jawatan itu apabila Kelantan berada dikedudukan tercorot saingan liga premier musim ini.- UTUSAN ONLINE











