KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah lega anak buahnya berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Siri Akhir FIH di Kelab Hoki Banbridge, Ireland Utara, walaupun, mereka bermain di bawah prestasi sebenar ketika menewaskan Perancis 3-2 dalam aksi Kumpulan A, semalam.
Dharma berkata, hanya pukulan sudut penalti berjaya memisahkan skuad bimbingannya daripada kegagalan memandangkan Perancis bermain dengan lebih baik, tetapi, keputusan tetap memihak kepada Malaysia.
“Ia satu perlawanan yang mencabar dan kebetulan dalam aksi suku pertama, kita berjaya menyempurnakan tiga pukulan sudut penalti yang diberikan. Itu yang membuat perbezaan antara dua pasukan ini.
“Saya rasa kita tidak bermain dengan baik mungkin disebabkan cuaca tiba-tiba menjadi sangat sejuk sekaligus membuatkan beberapa pemain beraksi di bawah prestasi sebenar.
“Perancis bermain dengan bagus dan kita pula bernasib baik mendapat banyak pukulan sudut penalti. Bukan senang hendak menjaringkan gol melalui peluang itu kerana pertahanan dan penjaga gol Perancis beraksi cemerlang,” katanya selepas perlawanan.- UTUSAN ONLINE











