KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasarudin SM Nasimuddin membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan No. 1 badan induk tersebut selepas tiga tahun berkhidmat.
Bagaimanapun, Nasarudin tidak pula menyatakan sebab mengapa beliau membuat keputusan tersebut dan ia memberi laluan kepada Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang tanpa berselindung menawarkan dirinya untuk menjawat jawatan berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa dan pasukan MPM di atas kerja keras dan bantuan yang diberikan sepanjang saya menjadi presiden dalam usaha kami merealisasikan matlamat serta aspirasi. Tidak ketinggalan kepada semua penaja yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan, terima kasih diucapkan.
“Penghargaan turut diberikan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana memberi peluang, insentif dan ganjaran kepada atlet para negara.
“Kepada bakal presiden dan ahli jawatankuasa MPM, saya berharap anda dapat meneruskan Pergerakan Paralimpik kerana melalui sukan kita mampu menyediakan peluang kepada setiap individu yang mempunyai masalah fizikal,” katanya.- UTUSAN ONLINE











