PRODUK minuman jenama Milo sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Masakan tidak, produk yang berasal dari Australia itu sudah bertapak di negara ini sejak 1950. Mengambil kira penduduk Malaysia yang merupakan pengguna terbesar produk itu iaitu kira-kira 90 peratus, Nestle (Malaysia) Berhad telah melabur lebih RM100 juta tahun lalu untuk membesarkan kilang Milo yang terletak di Chembong, Negeri Sembilan sekali gus menjadikannya kilang Milo terbesar di dunia.
Justeru, tidak dapat dinafikan sebahagian besar masyarakat negara ini membesar dengan produk Milo. Sudah tentu ia memberikan nostalgia yang pasti tidak dapat dilupakan. Salah seorang yang terkesan dengan pembawaan produk Milo ke dalam budaya masyarakat di negara ini ialah Mohd. Yusof Ali, 40, atau dikenali dengan nama julukan Milo Man.
Mohd. Yusof merupakan pengumpul tegar barangan Milo seperti tin-tin Milo lama, iklan, cenderamata, figura lori dan trak Milo, topi, kasut, cawan, gelas, botol air, alat tulis, baju-T dan banyak lagi. Mula mengumpul secara serius sejak 15 tahun lalu, dia kini memiliki hampir 1,500 koleksi yang dipamerkan di rumahnya di Klang, Selangor.
Sebahagian besar koleksi itu dikumpul sejak dia masih kecil dan sebahagian lagi diperoleh dengan menukar secara suka sama suka serta membeli daripada pengumpul lain. Menceritakan semula bagaimana hatinya terdetik menjadikan aktiviti mengumpul produk Milo sebagai hobi, Mohd. Yusof berkata, ia sebenarnya merupakan salah satu cara untuk memperingati arwah bapanya, Ali Kadir. Bapanya dahulu mengusahakan kedai makan dan sering menerima cenderamata (free gift) Milo apabila membeli produk itu.

“Apabila bapa kembali ke rahmatullah, terdetik di hati saya untuk menyimpan semua barangan Milo yang diperoleh arwah dahulu sebagai tanda memperingatinya sekali gus menjadikan aktiviti mengumpul produk tersebut sebagai hobi.
“Sebahagian tin Milo lama yang ada dalam koleksi saya diwarisi daripada arwah bapa.
“Barangan paling berharga yang saya miliki adalah set cawan serta piring kopitiam keluaran 1960-an yang dibeli daripada seorang individu pada harga RM2,000.
“Koleksi antik lain yang saya miliki adalah beberapa tin Milo yang dikeluarkan pada 1960-an. Ketika itu ia tidak dipanggil minuman coklat sebaliknya minuman tonik,” katanya kepada S2 ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Sekali pandang rumahnya tidak ubah seperti muzium penyimpanan barangan Milo dengan pelbagai koleksi lama dan baharu memenuhi segenap ruang tamu termasuk koleksi antik cawan kopitiam Milo edisi terhad. Mohd. Yusof memberitahu, sehingga kini dia sudah menghabiskan kira-kira RM40,000 untuk mengumpul barangan Milo termasuk menyediakan ruang pameran di rumahnya.
Walaupun sudah banyak wang ringgit dihabiskan untuk hobi itu, namun dia tidak pernah berasa kesal, sebaliknya berasa puas dengan koleksi yang dimiliki ketika ini. Dia juga tidak berasa terbeban apabila terpaksa menjadikan aktiviti mengelap kotoran dan habuk sebagai rutin bulanan, malah berasa seronok melihat koleksinya sentiasa bersih dan nampak baharu meskipun ada barangan yang sudah berusia lebih 50 tahun.
Apabila ditanya mengenai sokongan daripada ahli keluarga, Mohd. Yusof mengakui mereka pada mulanya berasa pelik dengan tingkah-lakunya yang sering membawa pulang tin-tin Milo lama sebelum mencuci dan menyimpannya.
“Lama-kelamaan apabila koleksi semakin banyak dan dipamerkan secara tersusun dan kemas, mereka terutama isteri saya, Zaitun Sulaiman mula menerima minat saya ini.
“Semua barangan yang dipamerkan berwarna hijau iaitu warna tema Milo. Warna ini memberikan kedamaian kepada mereka yang melihatnya.
“Jadi, walaupun menjadikan ruang tamu rumah sebagai galeri atau ruang pameran, isteri tidak kisah kerana pemandangannya menarik dan sedap mata memandang,” ujarnya.
Minat dikongsi 5,000 pengguna
Mohd. Yusof memberitahu, minat mengumpul barangan Milo turut dikongsi bersama pengumpul-pengumpul lain dari Kelab Peminat Barangan Milo Malaysia yang kini mempunyai seramai kira-kira 300 ahli.
Hobi itu turut dikongsi dengan lebih 5,000 orang pengguna media sosial dari seluruh negara melalui Facebook. Antara aktiviti yang dilakukan adalah jual-beli serta bertukar barangan secara suka sama suka.
Mohd. Yusof sendiri pernah menjual set figura trak Milo yang merupakan lebihan daripada koleksinya pada harga RM200. Paling mahal pernah dijualnya adalah set cawan kopitiam dengan harga sekitar RM300 hingga RM400.
“Perkongsian melalui Facebook membuatkan ramai tertarik untuk melihat koleksi yang saya ada.
“Selain orang tempatan, saya juga pernah menerima kunjungan pelawat asing iaitu dari Singapura dan Jepun yang mahu melihat sendiri galeri ini.
“Saya masih dalam proses mengumpul barangan Milo terutama yang jarang atau susah didapati. Saya berharap melalui aktiviti ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai di luar sana,” katanya.











