[VIDEO] MyKad palsu serendah RM500 hingga RM1,000 - Utusan Malaysia

[VIDEO] MyKad palsu serendah RM500 hingga RM1,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Serendah RM500 sehingga RM1,000.

Itu harga yang dikenakan oleh sindiket pemalsuan MyKad terhadap warga asing yang ingin memiliki kad pengenalan tersebut.

Kumpulan berkenaan dikenali sebagai sindiket ‘abang botak’ yang bergerak aktif di Perlis itu juga menjual MyKad serta sijil kelahiran milik orang lain kepada warga asing tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, hasil risikan dan maklumat awam, Jabatan Imigresen negeri berjaya menahan seramai sembilan individu warga asing termasuk seorang lelaki warga tempatan yang menjadi dalang penjualan MyKad berkenaan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Bukit Keteri, di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, pihak berkuasa tersebut turut merampas lima MyKad dan tiga sijil kelahiran palsu.

Pengarah Imigresen negeri, Basri Othman memberitahu, berdasarkan siasatan awal, sindiket itu dipercayai menyediakan MyKad palsu atau milik orang lain seterusnya dijual kepada warga asing yang berminat dengan harga serendah RM500 sehingga RM1,000.

Beliau berkata, seterusnya sindiket tersebut dipercayai membekalkan pekerja-pekerja berkenaan kepada syarikat-syarikat tertentu dalam sektor yang kritikal dan berisiko.

Katanya, kumpulan tersebut yang diketuai individu warga tempatan berusia 39 tahun yang ditahan itu bergerak aktif menjual kad pengenalan di negeri ini sejak tiga bulan lalu.

“Hasil siasatan, semua warga asing yang ditahan itu mengaku membeli kad pengenalan berkenaan melalui orang tengah (sindiket),” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Basri, pihaknya percaya sindiket berkenaan lumpuh dengan penahanan lelaki tersebut yang berasal dari Sabah itu.

“Mereka (sindiket) dipercayai telah menjual banyak kad pengenalan palsu ini. Kita akan menjalankan siasatan dan menahan saki baki ahli dalam kumpulan tersebut. Kita juga percaya sindiket ini mempunyai rangkaian di seluruh negara,” katanya yang memaklum kesemua mereka direman antara empat sehingga 14 hari.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini