Pekerja Sains maut terjatuh dalam loji rawatan air  - Utusan Malaysia

Pekerja Sains maut terjatuh dalam loji rawatan air 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Seorang pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) maut selepas terjatuh ke dalam Loji Rawatan Air Sungai Linggi dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mayat mangsa, Mahazir Hanif Idrus, 38, ditemui lemas oleh anggota bomba yang dikerahkan memberikan bantuan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, K. Putthisigamany berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.34 petang. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau bersama beberapa buah jentera dikerahkan memberi bantuan.

“Mayat mangsa berjaya ditemui dan dikeluarkan dari loji sedalam kira-kira lima meter itu pada pukul 3.30 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Putthisigamany berkata, pihak bomba dimaklumkan oleh seorang rakan mangsa semasa kejadian mangsa sedang membaiki lampu yang terdapat di titi loji berkenaan.

Menurut beliau, mangsa bagaimanapun terjatuh ke dalam loji tersebut semasa sedang melakukan kerja penyelenggaraan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Rosli Ishak ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan polis menerima laporan kejadian itu.

“Kami masih menyiasat kejadian ini dan maklumat lanjut akan diberikan selepas siasatan selesai dilakukan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini