PULAU PINANG – Polis negeri ini akan menyokong dan memastikan hala tuju menghapuskan kegiatan judi haram di negeri ini secara total seperti yang ditekankan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamis Bador dapat dicapai.

T. NARENASAGARAN
Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, seluruh warga pasukan beruniform itu khususnya Ketua Polis Daerah (KPD) dan Ketua Polis Balai akan berusaha 100 peratus dalam menghapuskan sebarang bentuk perjudian dan maksiat di negeri ini.
Berita berkaitan:
Menurut beliau, polis negeri ini juga akan meneruskan serta memperhebat operasi membanteras kegiatan judi itu yang sudah sedia dilaksanakan sepanjang masa ketika ini.
“Dalam masa sama, kita juga mengharapkan kerjasama masyarakat khususnya dalam melaporkan aktiviti perjudian haram yang wujud di kawasan mereka.
“Selain itu, masyarakat juga boleh berkongsi pandangan dan idea dengan pihak polis berkenaan kaedah berkesan untuk menghapuskan aktiviti perjudian ini sekali gus memastikan kegiatan jenayah ini dapat dihapuskan sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai arahan Abdul Hamid semalam supaya semua Ketua Polis Negeri dan KPD memastikan kegiatan judi haram di kawasan mereka dihapuskan secara total.
Abdul Hamid dilaporkan berkata, semua tauke judi haram di setiap daerah di seluruh negara yang masih bermaharajalela menjalankan kegiatan itu diberi amaran keras untuk menghentikan operasi mereka atau berdepan tindakan ditangkap. – UTUSAN ONLINE











