PATI kerja di tapak perkuburan elak dicekup Imigresen - Utusan Malaysia

PATI kerja di tapak perkuburan elak dicekup Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Bekerja di persekitaran yang sunyi di tapak perkuburan menjadi antara taktik terbaharu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Jika dulu mereka memilih bekerja di restoran, kedai atau kilang, namun disebabkan kekerapan operasi yang dijalankan pihak berkuasa, PATI berkenaan beralih arah kepada sektor pekerjaan yang kurang menjadi tumpuan.

Bagaimanapun, usaha mereka itu tidak berhasil apabila berjaya dikesan Bahagian Penguatkuasaan Imigresen negeri yang melakukan operasi di sebuah tapak perkuburan di sini yang mana mereka disyaki diambil bekerja oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Pengarah Imigresen negeri, Muhamad Husni Mahmud, dalam serbuan yang dijalankan semalam itu, seramai 13 warga asing masing-masing seorang wanita dan enam lelaki Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki Myanmar dan Pakistan bersama-sama warga tempatan telah diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia dan melanggar syarat-syarat pas sekali gus ditahan.

“Turut ditahan ialah seorang warga tempatan yang disyaki sebagai orang yang membenarkan PATI tersebut berada di dalam premis berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Muhamad Husni, pihaknya akan memperhebatkan operasi memburu PATI di negeri ini selaras dengan Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin yang telah diumumkan kerajaan pada 9 Jun lalu.

Katanya, pelan yang diumumkan itu akan dilaksana dalam tempoh lima tahun dengan memperkukuh tadbir urus dan tambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada yang akan melibatkan kerajaan negeri, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini