KANGAR – Pihak berkuasa perlu menahan individu yang mengaku terlibat dalam video intim dengan seorang menteri Kabinet selain segera menyiasat secara menyeluruh kes berkenaan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, siasatan segera itu perlu bagi mengelak fitnah terus berleluasa khususnya membabitkan kredibiliti seorang menteri.
Dalam masa sama, Fathul Bari yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar turut menyeru orang ramai supaya berhenti menyebarkan video aib berkenaan.
“Kita gesa kerajaan buat siasatan segera bagi mengelak fitnah terus berleluasa. Pelbagai spekulasi muncul selepas penyebaran video ini. Tidak boleh ada siasatan terpilih memandangkan isu ini adalah besar membabitkan kredibiliti seorang menteri.
“Individu yang mengaku itu perlu segera ditahan dan diambil tindakan kerana dia telah mengaku terlibat dalam video yang tersebar itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan video intim luar tabii yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet sejak kelmarin.
Selepas 24 jam digemparkan dengan penularan video rakaman dua lelaki berbogel sedang intim di atas katil, seorang individu, Muhammad Haziq Abdul Aziz tampil membuat pengakuan dia merupakan lelaki dalam video seks itu bersama seseorang yang didakwanya menteri kanan Kabinet.
Sementara itu, Fathul Bari menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya membiarkan kes berkenaan diselesaikan melalui proses undang-undang.- UTUSAN ONLINE











