SEREMBAN – Gesaan supaya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercuti sementara daripada tugas rasminya ekoran penyebaran video seks yang didakwa melibatkan beliau adalah tidak wajar.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu sepatutnya diserahkan kepada kepemimpinan kerajaan untuk membuat keputusan.
“Tak wajar, sebab siasatan belum bermula, kita serahkan kepada pucuk pimpinan berhubung perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah jabatan itu, Datuk Pkharuddin Ghazali dan kira-kira 500 tetamu.
Kumpulan Otai Reformis dalam sidang akhbar hari ini menuntut Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bercuti sementara bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap video seks yang melibatkan imej mirip beliau.
Mereka mendakwa langkah itu perlu diambil bagi menjaga nama baik kerajaan Pakatan Harapan.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri meminta ahli-ahli parti tersebut supaya bersabar dalam menghadapi isu yang melanda ketika ini.
Beliau meminta mereka agar terus memberi sokongan kepada kepemimpinan PKR bagi memastikan parti itu berada dalam keadaan baik.
Katanya, isu video tersebut tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha pembangunan negara. – UTUSAN ONLINE











