Som hilang suami, 3 anak dalam masa singkat - Utusan Malaysia

Som hilang suami, 3 anak dalam masa singkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Hati Som Ngai, wanita Orang Asli suku kaum Batek luluh apabila melihat tubuh suaminya, Hamdan Keladi menjadi kurus kering dan muntah-muntah serta sesak nafas sebelum meninggal dunia di depan matanya dalam masa singkat.

Belum sempat air mata Som, 50, kering menangisi kematian suami, dia diuji sekali lagi seminggu kemudian apabila dua anaknya, jatuh sakit dengan simptom serupa sebelum meninggal dunia pada hari yang sama.

Laila yang berusia 30-an meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi diikuti Romi, 29, kira-kira pukul 4 petang. Empat hari kemudian, nasib sama menimpa seorang lagi anaknya, Din, 27.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penderitaan kehilangan empat insan tersayang itu terpaksa ditanggung Som ketika penularan penyakit radang paru-paru di penempatan masyarakat minoriti terbabit di Kampung Kuala Koh, di sini bermula awal bulan lalu.

Ketika ditemui pemberita hari ini, Som yang mempunyai tujuh anak tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata betapa luluhnya hati berdepan kematian suami serta tiga anaknya yang menjadi korban penyakit ‘misteri’ itu.

“Ketika itu kami sudah cuba macam-macam cara namun penyakit mereka tidak sembuh-sembuh. Mereka hanya mampu terbaring dan tidak boleh makan atau minum sehinggalah mereka mati,” katanya.

Bercerita lanjut, Som memberitahu, jika tidak kerana menerima rawatan awal di hospital, dia mungkin kehilangan seorang lagi anaknya, Asiah, 20-an apabila gadis itu turut dijangkiti penyakit sama.

“Asiah ditahan di wad selama beberapa hari dan baru sahaja dibenarkan keluar,” katanya.

Sementara itu, Lan, 20, adik kepada Asiah berkata, ketika keluarga mereka ditimpa musibah, dia berada di luar kawasan penempatan mereka kerana mencari hasil hutan dan madu lebah.

“Saya dapat tahu ayah meninggal lalu segera bertolak pulang. Ketika saya sampai di kampung, bukan hanya ayah yang mati, tetapi dua abang dan kakak juga sudah mati. Seorang lagi kakak masuk wad.

“Kami harap sangat dapat tahu secepat mungkin apa punca sebenar yang menyebabkan ahli keluarga kami terkena penyakit itu kerana sebelum ini mereka sihat-sihat belaka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini