KUALA LUMPUR – Anak syarikat milik penuh tidak langsung KNM Group Bhd telah memenangi dua kontrak yang keseluruhannya bernilai AS$6.65 juta (RM69.41 juta).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata anak syarikatnya, FBM Hudson Italiana S.p.A (FBM) mendapat kontrak AS$4.55 juta (RM18.97 juta) bagi rekaan, pemasangan dan pembekalan alat penyejuk udara panas untuk kilang penapisan petroleum dan polipropilena di Nigeria daripada Dangote Oil Refining Co. Ltd. dan Dangote Petroleum Refinery and Petrochemicals Free Zone Enterprise.
“Pembekalan dan penghantaran adalah untuk tempoh 12 bulan dari tarikh kontrak,” katanya.
Sebuah lagi anak syarikat, FBM-KNM FZCO (FZCO) mendapat kontrak AS$2.10 juta (RM8.75 juta) bagi pembekalan dan penggantian alat penukar haba untuk kilang pemprosesan gas Khor Al-Zubair di Wilayah Basrah, Iraq daripada Basrah Gas Company.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan KNM Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan 31 Disember 2020.
“Pemberian kontrak itu juga tertakluk kepada risiko komersial dan kewangan tertentu, khususnya dalam industri kuasa, minyak, gas, petrokimia dan tenaga,” katanya.
– BERNAMA











