KUALA LUMPUR – Dasar Keusahawanan Negara yang akan dilancarkan pada 11 Julai ini merupakan saluran penting buat Kementerian Pembangunan Usahawan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara, selepas kementerian itu tidak diwujudkan dalam tempoh 10 tahun lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, dasar yang akan dilancarkan itu mengandungi beberapa teras penting bagi menggalakkan pelbagai perniagaan termasuklah kegiatan koperasi serta perniagaan dalam talian.
Katanya, antara objektif utama dasar berkenaan adalah untuk meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Kementerian ini baharu. Bila ditubuhkan semula (setahun lalu), kita mahu hendak menepati apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri yang mahu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan.
“Hasrat itu memerlukan persiapan dan perancangan. Ia tidak boleh secara mengejut menjadi negara yang ramai usahawan. Kita mahu dasar ini melahirkan usahawan yang boleh mengeksport barangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Latihan Keusahawanan dan Restoran Tasnim Gangjungene di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Tasnim Food Industries Sdn. Bhd., Rafizan Abdul Razak dan Presiden Dewan Perniagaan Dan Keusahawanan Selangor, Yaakob Sapari.
Mohd. Hatta berkata, ketika ini sumbangan PKS terhadap KDNK negara ialah sekitar 37 peratus dan mahu kadar itu dinaikkan kepada 50 peratus menjelang tahun 2030 dengan dibantu oleh Dasar Keusahawanan Negara.-UTUSAN ONLINE











