JITRA – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diminta memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat kepada penduduk setempat mengenai Skim Perlindungan Nasional B40 (MySalam) yang diperkenalkan sejak Januari lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, usaha itu bagi memastikan tiada berlaku keciciran dan agar golongan sasar dapat menikmati manfaat yang disediakan melalui skim tersebut.
Menurutnya, MPKK juga pada masa sama diperlukan untuk melancarkan urusan pendaftaran secara dalam talian bagi membolehkan golongan itu menerima perlindungan kesihatan secara percuma yang bernilai RM8,000.
“Kita memahami kadang-kala penduduk kampung ada yang uzur dan tinggal bersendirian, jadi mereka memerlukan bantuan orang yang lebih arif untuk mendaftar dalam skim ini.
“Sekiranya MPKK juga mempunyai masalah untuk mendaftar, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pusat khidmat wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra bersama MPKK Pelubang di Kampung Pelubang di sini, hari ini.
Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu mengulas laporan Bernama bahawa rakyat Kelantan mendakwa mereka masih kurang jelas dan tidak mendapat maklumat tepat mengenai MySalam dan mahu hebahan mengenai skim itu dipertingkatkan.
Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, hebahan mengenai skim itu telah dibuat melalui pelbagai saluran media sebelum ini dan beliau tidak menolak kemungkinan mereka yang tidak mendapat maklumat berkenaan adalah yang tinggal di kawasan kampung atau pedalaman.
MySalam merupakan perlindungan kesihatan hasil inisaitif kerajaan untuk membantu pesakit membiayai kos pengangkutan sepanjang mereka mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.
Selain itu, mereka juga akan diberikan bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amiruddin berkata, lebih 90 peratus pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) telah dibuat kepada penerima seluruh negara.
Katanya, hanya penerima di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak belum menerima BSH berikutan pegawai Kementerian Kewangan perlu ke kawasan mereka bagi membolehkan pembayaran secara tunai. – UTUSAN ONLINE











