PADANG BESAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengesyorkan agar seluruh warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus menerus berusaha bagi ‘Merakyatkan Penyampaian Perkhidmatan’ dengan cara memberikan fokus serta menitikberatkan lagi pemantapan dari sudut kecekapan dan keberkesanan penyampaian kerja yang berasaskan ‘pelanggan dan rakyat’ yakni “citizen-centric” agar lebih cepat, tepat, berkualiti, proaktif dan responsif dalam sebarang tindakan yang diambil.

Usaha sebegini, titah baginda, dapat meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan penyampaian kerja secara keseluruhannya.
Demikian titah Raja Muda Perlis selepas berkenan menyempurnakan ‘Majlis menandatangani Warkah Pelantikan Hakim-Hakim, Pendaftar-Pendaftar Dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Perlis’ yang diadakan di Istana Arau petang kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa dalam menyahut titah saranan Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs, pihak pengurusan dan setiap peringkat kerja majlis akan cuba sedaya upaya mencari jalan untuk melaksanakan kaedah-kaedah kerja baharu yang lebih fleksibel, berfokuskan keberhasilan (outcome), memudah cara (facilitate) dan melaksanakan penyampaian perkhidmatan secara lebih kreatif dan berinovatif bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan sedia ada supaya lebih cekap dan responsif.
Dalam perkembangan lain kemudiannya petang semalam, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat mengetuai kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-41 bagi tahun 2019’ ini yang bermula dan berakhir di Masjid Al-Hakim Kg Batu Hampar Padang Malau Beseri, Padang Besar.
Mengambil sempena program tersebut, baginda turut berkenan singgah di rumah terbuka ‘Raya Perpaduan’ yang diadakan di KRT Taman Beseri dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan AMMK Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, Ruzaini Rais, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan, kepimpinan masyarakat setempat serta para pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.












