BUTTERWORTH – Sebanyak enam buah kontena yang mengandungi kayu getah bergergaji yang dilarang dieksport disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini 29 Mei lalu.
Pengarahnya, Datuk Saidi Ismail berkata, pihaknya mendapati kayu-kayu berkenaan diisytiharkan sebagai kayu getah tanggam jejari (bersambung) yang dibenarkan pengeksportannya.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu turut dicampur dengan kayu getah bergergaji dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM318,000 dan levi bernilai RM25,000.
Tambah beliau, pihaknya yakin kayu-kayu itu cuba dihantar ke China menerusi Pelabuhan Pulau Pinang di sini.
“Kayu getah bergergaji mendapat permintaan yang tinggi dari negara seperti China dan Jepun kerana warnanya yang cerah.
“Namun, setakat ini kayu getah bergergaji dilarang dieksport bagi melindungi industri perabot tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Perlesenan dan Inspektorat, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Zulkepli Abd. Rani.
Menurut Saidi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE











