KUALA LUMPUR- Tiada lesen memandu merupakan antara kesalahan utama dilakukan pengguna jalan raya di ibu negara dalam Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 yang bermula 29 Mei lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Zamakhshari Hanipah berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 2,405 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,056 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu..
“Ini menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya yang memandu tanpa lesen dan ini amat merbahaya.
“Kita juga akan lihat apakah faktor ramai pengguna jalan raya memandu tanpa lesen,” katanya selepas Operasi Bersepadu HRA di Stesen Transit Aliran Ringan Bangsar di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Ismail Mohd. Zawawi
Menurut Zamakhshar, pada tempoh sama, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap 1,176 kenderaan.
Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 21 kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan.
“Pihak JPJ akan tingkatkan penguatkuasaan untuk mengubah sikap pemandu selain fokus untuk kurangkan kadar kematian di atas jalan raya,” katanya.- UTUSAN ONLINE











