GUA MUSANG – Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani, di sini dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara bagi pesakit Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh yang telah dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, walaupun dibenarkan keluar dari hospital, pergerakan mereka perlu dikawal memandangkan siasatan terhadap penyakit tersebut masih belum selesai.
“Anggaran awal bilangan Orang Asli suku Batek di pusat pemindahan sementara itu ialah 50 orang.
“Jumlah maksimum penempatan ini boleh memuatkan sehingga 400 orang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat operasi di Aring 10 di sini hari ini.
Sesi lawatan beliau disertakan dengan pemberian sumbangan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Food Aid Foundation.
Wan Azizah turut memberitahu, selain menyediakan pendidikan kesihatan, sesi kaunseling juga diberikan kepada penduduk dan petugas bagi mengurangkan tekanan dan keresahan mereka susulan krisis kesihatan terbabit.
“Walau bagaimanapun, buat masa ini, atas nasihat Kementerian Kesihatan, orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut tanpa kebenaran Komander Operasi PKTK (Pos Kawalan Tempat Kejadian) kerana ia telah diisytiharkan sebagai Zon Merah oleh Ketua Polis Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, situasi kebajikan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh setakat ini adalah terkawal.
“Kerajaan memahami keprihatinan masyarakat dan NGO mahu meringankan beban keluarga Orang Asli, namun atas faktor keselamatan, mereka tidak dibenarkan menyalurkan sendiri bantuan tersebut.
“Sebaliknya pihak kerajaan yang akan menyalurkan bantuan tersebut,” katanya.
Antara barang-barang keperluan yang disaran oleh kerajaan untuk disumbangkan oleh orang awam atau NGO untuk kegunaan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh adalah seperti berikut:
1. Makanan mentah (beras,roti,gula,kopi,susu krimer)
2. Air mineral
3. Kit Kebersihan (Hygiene Kit)
4. Selimut
5. Kain pelikat
6. Selipar
7. Ketip kuku
8. Ubat kutu dan ubat-ubatan.
Bantuan boleh disalurkan kepada Pusat Pengumpulan Bantuan Awam, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Felda Aring 10, Gua Musang atau Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Gua Musang.
Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi nombor yang berikut: Nor Hidayah Kamarulzaman (APM) – 011 2934 3409 atau Hizani Ibrahim (JKM) – 019-286 9588 / 09 9120140. – UTUSAN ONLINE











