Tangkap jika masih beroperasi - Utusan Malaysia

Tangkap jika masih beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Jun – Itu amaran keras Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kepada semua tauke judi haram di setiap daerah di seluruh negara yang masih bermaharajalela menjalankan kegiatan itu.

Dalam masa yang sama, beliau telah mengarahkan semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah agar memastikan kegiatan judi haram di kawasan mereka dihapuskan secara total.

Tegas beliau, pihaknya telah mengenal pasti tauke-tauke judi terlibat termasuk yang bergelar Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk dan sama sekali tidak akan berkompromi sekiranya mereka terus beroperasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kegiatan judi haram ini sudah berlanjutan sekian lama sehingga menjadi ibu segala jenayah di negara ini. Sebagai contoh, pada peringkat awal, sekiranya remaja belasan tahun terlibat dalam ke­giatan judi ini, mereka akan mula berhijrah ke alam jenayah de­ngan mencuri kecil-kecilan bagi mendapatkan wang.

“Mereka yang semakin ke­tagih berjudi, kemudiannya akan ‘graduate diploma’ melibatkan jenayah yang lebih besar iaitu kegiatan samun sehingga memiliki ‘ijazah’ untuk mela­kukan rompakan semata-mata bagi memperoleh wang untuk berjudi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, tegas Abdul Hamid, arahan telah pun dikeluarkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah agar penekanan diberikan dengan mengambil tindakan tegas kepada operator yang menjalankan kegiatan tersebut bukan kepada pengunjung pusat judi haram.

“Saya hendak tauke-tauke judi ini yang ditahan. Mungkin amaran saya ini tidak popular di kalangan mereka, namun saya tahu apa yang mereka lakukan selama ini.

“Ini kerana, mereka-mereka inilah yang telah menghancurkan beribu-ribu keluarga serta merosakkan akhlak anak muda dan menyebabkan apabila mereka masuk sahaja alam pekerja telah terpahat dalam jiwa mereka satu budaya yang menyimpang. Itu salah satu sebab ramai penjawat awam berhutang de­ngan ah long,” jelasnya.

Tambah Abdul Hamid, beliau juga tidak menafikan terdapat anggota pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam kegiatan judi haram.

Katanya, berikutan kegiatan judi ini, kebanyakan mereka yang terlibat akan kehabisan wang gaji mereka dan sanggup bertindak ganas dengan memukul isteri dan anak mereka.

“Inilah yang berlaku. Saya tak nafikan malah berleluasa sebab itu saya sangat tekankan untuk banteras judi ini habis-habisan dan mesti dihapuskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut meminta tauke-tauke judi ini supaya mempunyai sedikit hati perut dan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa yang terlibat judi sehingga mereka mampu menggunakan keuntungan haram dengan memberi kemewahan keluarga masing-masing.

“Dengan keuntungan haram, mereka dapat menghantar anak mereka belajar di luar negara se­perti Australia, Amerika Syarikat selain melancong kelas pertama bersama keluarga hasil duit yang dicuri dari anak-anak muda ini. Tiadakah rasa simpati kepada keluarga mangsa kerana telah menghancurkan kehidupan mereka apabila berlakunya penceraian, jenayah akibat judi ini.

“Sehubungan itu, kepada tauke-tauke judi ini, tidak kira bergelar Tan Sri, Datuk Seri atau Datuk, hentikan lah kegiatan jijik ini. Allah akan membalas semula apa yang mereka lakukan ini. Saya yakin ada yang akan marah kepada saya kerana punca rezeki mereka tertutup tetapi saya tidak gentar meskipun ada yang mahu menembak saya,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini