BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas lebih 3.7 juta batang rokok seludup dalam dua serbuan di negeri ini dan Perak semalam dan Selasa lalu.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Saidi Ismail berkata, menerusi serbuan di kilometer 267, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Ipoh, Perak semalam, pihkanya menahan pemandu sebuah lori 10 tan yang disyaki membawa rokok seludup.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, lori yang dipandu lelaki berusia 40-an itu membawa muatan sebanyak tiga juta rokok putih yang disyaki tidak mendapat kelulusan kastam kerana tiada label cukai.
Tambah beliau, sindiket berkenaan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan beberapa keping tilam terpakai di bahagian belakang lori bagi namun berjaya dikesan.
“Sehubungan itu, kita merampas rokok seludup itu dengan anggaran nilai RM240,000 serta melibatkan cukai RM2 juta.
“Suspek juga direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Saidi berkata, dalam satu lagi serbuan di sebuah premis kosong di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas dekat sini Selasa lalu, pihaknya merampas sebanyak 708,000 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama disyaki tidak mendapat kelulusan kastam.
Tambahnya, rampasan itu membabitkan nilai kira-kira RM56,952 dengan cubaan mengelak cukai sebanyak RM321,900.
“Kita kini sedang giat mengesan pemilik premis berkenaan dan sindiket ini menggunakan modus operandi menyimpan rokok berkenaan di premis kosong sebelum dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE











