KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan Datuk N. Gobalakrishnan yang ditahan semalam kerana menghalang tugas polis telah dibebaskan, pagi ini.
Lokman berkata, mereka dibebaskan pada pukul 9 pagi tadi dengan jaminan polis.
“Bagaimanapun, saya diarahkan untuk melapor diri ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Lokman dan Gobalakrishnan ditahan selepas dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang tugas polis ketika disiasat berhubung video seks berkaitan seorang menteri di kediamannya di Kajang Hillpark, dekat sini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, Lokman ditahan kerana menghalang tugas sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta Pasukan Forensik yang sedang menjalankan siasatan bersabit kes Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Menerusi muat naik status Lokman di laman Facebooknya semalam, beliau menjelaskan telah memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung isu yang sama.
“Mereka nak rampas kedua-dua telefon bimbit saya dan geladah rumah saya. Betul-betul Law of The Jungle,” katanya.- UTUSAN ONLINE











