LONDON – Maurizio Sarri menjadi pengurus baharu Juventus selepas juara Itali itu bersetuju untuk membayar yuran pampasan bernilai 7 juta pound (RM36 juta) kepada Chelsea, semalam.
Rundingan kedua-dua kelab itu menemui jalan buntu sehingga pengarah Chelsea, Marina Granovskaia dan pengarah sukan Juve, Fabio Paratici mengadakan pertemuan untuk mencari jalan penyelesaian.
Sarri, 60, mempunyai baki kontrak selama dua tahun dengan nilai 5 juta pound (RM26 juta) setahun dan The Blues enggan melepaskannya dengan nilai yang lebih rendah.
Pada satu tahap, Juve berharap mereka boleh mendapatkan Sarri tanpa perlu membayar pampasan untuk pengurus tersebut.
Bagaimanapun Chelsea tidak mahu berganjak dengan keputusan mereka dan memaksa Juve untuk mengadakan rudingan bersama Granovskaia yang mahukan bayaran pampasan sebanyak mungkin, seminggu selepas Real Madrid bersetuju membayar 150 juta pound (RM792 juta) untuk Eden Hazard walaupun pemain Belgium itu mempunyai kontrak setahun di Stamford Bridge.
Sarri sah menandatangani kontrak selama tiga tahun menggantikan Massimiliano Allegri. Dia bakal menerima bayaran 6.2 juta pound (RM32 juta) dan difahamkan Chelsea berminat untuk mendapatkan Frank Lampard bagi mengisi jawatan pengurus The Blues. – AGENSI











