KUALA LUMPUR 14 Jun – Bursa Malaysia dibuka kukuh hari ini, dengan mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman di Wall Street berikutan peningkatan ketegangan di Timur Tengah menyaksikan saham tenaga Amerika Syarikat (AS) melantun semula dengan kukuh.
Niaga hadapan minyak melonjak selepas dua kapal tangki minyak rosak selepas disyaki diserang di Teluk Oman yang mencetuskan kebimbangan mengenai gangguan bekalan, kata peniaga.
Pada 9.07 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.71 mata kepada 1,645.45 daripada 1,643.74 pada 5 petang Khamis. Indeks dibuka 5.68 mata lebih tinggi pada 1,649.42.
Kedudukan pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 141 berbanding 84, dengan 175 kaunter tidak berubah, 1,480 tidak diniagakan dan 34 lagi digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 102.88 juta bernilai RM64.96 juta.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, pasaran tempatan masih berada dalam keadaan terlebih beli sehingga akan berlaku penarikan balik ditambah pula dengan aktiviti pembelian daripada sumber domestik selepas perumusan musim pelaporan kebanyakan keputusan korporat baru-baru ini.
Ia berkata pada terakhir dagangan minggu ini, tumpuan kekal terhadap indeks utama yang mungkin terus menjejaskan minat pasaran.
“Kebimbangan geopolitik yang semakin meningkat di Timur Tengah dan pertikaian perdagangan yang tidak dapat diselesaikan antara Amerika Syarikat dan China akan mendorong sentimen lebih berhati-hari.
“Oleh itu, kami fikir indeks utama mungkin akan terus berlegar dalam jangka terdekat dengan kecenderungan menurun seperti kelazimannya, mungkin menyebabkan FBM KLCI kembali ke paras 1,640. Selain itu, paras sokongan berada pada 1,636, manakala paras rintangan pada 1,650 dan 1,657,” katanya. – BERNAMA











