Cabaran getir sektor penerbangan - Utusan Malaysia

Cabaran getir sektor penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Penerbangan menghidupkan globalisasi. Sejak 1990 secara purata globalisasi telah mengeluarkan 130,000 orang sehari daripada kemiskinan.”

Ini mesej jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Elsekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Alexandre de Juniac kepada kerajaan ketika ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Tahunannya ke-75 di Seoul, Korea Selatan, 2 Jun lalu.

Namun, kewangan yang kukuh juga amat perlu bagi memboleh­kan industri penerbangan berada dalam kedudukan terbaik. Industri penerbangan mengharungi suasana suram sejak 2010 dengan sesetengah rantau terus berdepan cabaran. Apa pula impaknya kepada industri penerbangan negara?

Memuatkan artikel berkaitan…

Persekitaran 2019

Perang dagangan dan dasar perlindungan akan memberi kesan kepada perniagaan kargo. Ini termasuk peningkatan kos bahan api, tenaga buruh dan infrastruktur semakin menekan margin keuntungan.

Tahun ini akan menyaksikan syarikat penerbangan merekodkan keuntungan lebih rendah pada AS$28 bilion (RM116.51 bi­lion) walaupun IATA menyifatkan ia keuntungan yang kukuh di sebalik situasi mencabar.

India dan China sahaja dijangka menyumbang 45 peratus kepada tambahan perjalanan penumpang dalam tempoh dua dekad akan datang.

Syarikat penerbangan di Asia Pasifik pula menunjukkan pres­tasi bercampur-campur dan menjadi rantau paling terdedah kepada kelemahan dagangan dunia dan kargo.

Tumbangnya Jet Airways

Antara topik yang menjadi tumpuan pada IATA kali ini, sejauh mana krisis Jet Airways di India kepada industri pe­nerbangan di rantau Asia Pasifik. Jet Airways adalah antara syarikat penerbangan terbesar di India selepas Indigo yang kini berdepan risiko bankrap.

Pada Mac 2019, satu rancangan menyelamat dicapai yang menyaksikan konsortium peminjam domestik diketuai State Bank of India menjadi pemegang saham majoriti dan mengambil alih sementara syarikat penerbangan tersebut.

Apabila hutang pemberi pinjaman ditukar kepada saham ekuiti, pegangan Etihad Airways dalam syarikat itu menyusut daripada 24 peratus kepada 12 peratus. Ia turut menyebabkan tiga ahli lembaga pengarah meletak jawatan.

Tetapi, Jet Airways terus bergelut untuk memperoleh dana baharu dan sebulan kemudian digantung operasi pada 17 April lalu. Penerbangannya dari Amritsar ke Mumbai pada 18 April adalah yang terakhir.

Kejatuhan syarikat penerbangan ini sebahagian besar dise­babkan kos yang tinggi dalam pasaran India dan ketidakmampuannya membuat perubahan untuk bersaing dengan syarikat penerbangan tambang murah dalam persekitaran penga­walseliaan di negara itu.

India merupakan antara pasaran penerbangan domestik yang berkembang pesat di dunia tetapi buat pertama kali merekodkan kadar pertumbuhan negatif dalam tempoh lebih lima tahun pada April lalu.

Pasaran di India secara dasar­nya amat sukar kerana berdepan kos bahan api tinggi, kelemahan infrastruktur, pengawalseliaan yang rumit dan hasil rendah. Tetapi, ia dijangka berkembang dalam tempoh lima tahun sekali gus membolehkan penerbangan tambang murah dan perkhidmatan penuh membuat keuntungan.

Pengajaran JAL

Krisis Jet Airways, menurut IATA, telah menyebabkan kemunculan ‘penerbangan kos rendah cekap operasi’ dan ia tidak unik kerana kebanyakan syarikat penerbangan lampau di negara lain turut ditutup.

Namun, apa yang berlaku terhadap syarikat penerbangan Jepun, Japan Airlines Co Ltd (JAL) boleh dijadikan contoh yang baik, bagaimana syarikat ini mampu bangun kembali.

Kerajaan mengambil alih JAL pada 1953 sebelum diswastakan semula pada 1987 dan ia meng­alami kerugian pada 1992 secara berterusan selama tujuh tahun.

Ia berikutan langkah syarikat membuat pelaburan besar dalam hartanah dan hotel sebelum ekonomi Jepun bergelut dengan krisis pada 1990-an. Ditambah pula dengan krisis global seperti serangan pengganas dalam tragedi 9/11 dan perang Iraq, semakin memburukkan prestasi JAL.

Akhirnya syarikat ini diisytihar bankrap pada 2010 setelah menanggung hutang sehingga 2.32 trilion yen (RM88.47 bilion).

Seperti dihadapi Malaysia Airlines, JAL juga beralih kepada kerajaan untuk diselamatkan menerusi Perbadanan Inisiatif Pemulihan Syarikat yang menyaksikan 15,700 pekerja dibuang pada Mac 2013 dan memansuhkan laluan tidak menguntungkan.

JAL kembali untung pada 2011 dan 2012 dengan merekodkan keuntungan 186.6 bilion yen (RM7.17 bilion). Pada April 2017, JAL bebas daripada sekatan kerajaan terhadap pengembangan laluan.

Kini, JAL sedang menjalin kerjasama dengan Malaysia Airlines untuk penerbangan antara Malaysia dan Jepun yang dijangka bermula pada 2020 seiring penganjuran Olimpik Tokyo.

Bagaimanapun, persoalan sama ada JAL akan membeli kepentingan dalam Malaysia Airlines, masih belum ada kata putus. Hakikatnya, banyak pengajaran boleh diambil MAB daripada perjalanan JAL mengukuhkan semula kedudukannya dalam industri penerbangan di Jepun.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail terbuka kepada pelaburan ekuiti dalam syarikat tersebut tetapi bukan menjual 100 peratus pegangan yang disifatkannya sebagai tindakan menutup Malaysia Airlines.

Levi pelepasan

Menurut IATA, langkah kerajaan mengenakan levi pelepasan dan tambahan caj perkhidmatan penumpang akan semakin memburukkan prestasi syarikat penerbangan tempatan seperti Malaysia Airlines dan AirAsia.

“Sepanjang persidangan IATA ini, kita mendengar ba­nyak kenaikan kos itu dan ini, dan (kerajaan) mahu menambah kos lagi. Ini akan melemahkan permintaan kerana orang tidak mahu terbang melalui Malaysia sekali gus memberi kesan negatif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” jelas Naib Presiden Serantau Asia Pasifik IATA, Conrad Clifford.

Kajian IATA menunjukkan pasaran pengangkutan udara di Malaysia dijangka berkembang 127 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang yang me­nyak­sikan tambahan penumpang sebanyak 66.7 juta pada 2037.

Ini akan meningkatkan permintaan dan menyokong AS$23.4 bilion (RM97.37 bilion) kepada KDNK dan 698,000 peluang pekerjaan.

Lalu, rasionalkah penutupan sebuah syarikat penerbangan tempatan? Tahun ini masih menjadi tahun yang mencabar kepada industri penerbangan seluruh dunia. Ya, kerajaan te­lah melaksanakan yang terbaik untuk membantu Malaysia Airlines, namun menutupnya bukan juga satu langkah bijak.

Beri ruang kepada Malaysia Airlines dan pada masa sama, cuba perbaiki kelemahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini