Jakoa susun pelan pembangunan Orang Asli - Utusan Malaysia

Jakoa susun pelan pembangunan Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sudah menyusun pelan pembangunan untuk masyarakat pribumi itu di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Prof. Dr. Juli Edo berkata, pelan itu sudah dibuat sebelum ini lagi memandangkan banyak kampung kaum Orang Asli dikenal pasti bermasalah.

Katanya, pihaknya hanya menunggu masa untuk melaksanakan termasuklah kemudahan air bersih yang menjadi keperluan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita memikirkan kemudahan bersifat jangka panjang bagi Orang Asli seperti projek empangan air yang menjamin masa depan.

“Kita akan teliti semuanya termasuklah juga penyelenggaraan kemudahan air bersih terawat sedia ada,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Gua Musang di sini, petang semalam.

Sebelum itu, beliau menerima sumbangan makanan dan bantuan kewangan untuk pesakit Orang Asli daripada Ketua Misi Bantuan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, Prof. Dr. Ramlee Abdullah.

Sementara itu, Juli berkata, berkenaan banyak masalah yang menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh pihaknya sudah mengambil maklum keadaannya yang sangat miskin dan akan diambil perhatian.

“Kita kena tumpu kemudahan asas terlebih dahulu kerana amat kurang, selain sumber ekonomi mereka juga yang agak terbatas.

“Perkara itu yang kita akan ambil tindakan semula selepas penyakit jangkitan paru-paru terkawal nanti,” katanya.

Tambahnya, buat ketika ini pihaknya juga mendapat bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk kebajikan di kampung Kuala Koh.

Katanya, Nadma akan menguruskan dahulu secara berkesan segala permasalahan yang timbul di kampung terbabit dan selepas ini barulah pihak Jakoa melaksanakan pelan pembangunan.

“Kita juga mendapat bantuan daripada pihak kerajaan negeri Kelantan apabila telah menghantar bekalan air bersih kepada Orang Asli Kuala Koh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini