KUALA LUMPUR – Selama ini ramai pengguna memilih pelbagai jenis susu sama ada digunakan untuk minuman atau bahan membuat pastri dan kek.
Namun seorang pemilik akaun Twitter yang dikenali Kamarul Ariffin atau @dr_chaku memuat naik jenis-jenis susu untuk pengetahuan pengikutnya.
Menerusi status tersebut, Kamarul yang merupakan ahli Mythbuster Malaysia memberi penerangan apakah bezanya antara susu segar, susu penuh krim, susu skim, susu rendah lemak, susu isian, susu sejat, susu pekat dan sebagainya.
Status tersebut yang dimuat naik semalam mendapat 20,200 retweet dan 18,200 tanda suka sehingga tengah malam tadi.
Berikut merupakan jenis-jenis susu yang dikongsi oleh Kamarul kepada dalam akaun Twitter miliknya.
1. Susu Segar (Fresh Milk)
Susu mentah yang dipasteurkan untuk bunuh kuman. Ia dijual dalam bentuk aslinya(cecair). Jika ia susu import, maka ia diimport dalam bentuk cecair. Oleh itu, harganya lebih mahal sedikit.
2.Susu Penuh Krim (Full Cream Milk)
Susu yang mengandungi komposisi lemak seperti susu segar iaitu sekitar 3.8. Peratus. Ia dijual dalam bentuk susu sedia minum atau dikeringkan menjadi susu tepung.
3.Susu Rendah Lemak (Low Fat Milk)
Susu yang telah dibuang sebahagian lemaknya sehingga mengandungi sekitar 1.5 peratus kandungan lemak. Ia dijual dalam bentuk susu sedia minum atau dikeringkan menjadi susu tepung.
4.Susu Skim (Skimmed Milk)
Susu yang telah dibuang sebahagian lemaknya sehingga mengandungi sekitar 0.15 peratus kandungan lemak. Ia dijual dalam bentuk susu sedia minum atau dikeringkan menjadi susu tepung.
5.Krim (Heavy/Whipping Cream)
Lemak/krim terapung yang diasingkan daripada susu asli. ‘Heavy cream’memiliki sehingga 40 peratus kandungan lemak. Krim putar(whipping cream) pula mengandungi sekitar 30 peratus lemak susu.
6.Susu Isian(Filled Milk)
Susu yang lemaknya telah dibuang dan digantikan/disi pula dengan lemak sayuran(lazimnya sawit). Pendek kata, susu skim atau pepejal susu yang campur lemak sayuran. Lazimnya dijual dalam bentuk susu sejat atau serbuk.
7.Susu Sejat (Evaporated Milk)
Susu asli penuh krim atau isian yang dipanaskan agar kandungan airnya tersejat dan menghasilkan susu yang lebih padat. Tiada tambahan gula dicampur kepada susu ini.
8.Susu Pekat Manis (Sweetened Condensed Milk)
Susu asli penuh krim atau isian tersejat yang ditambah gula, kemudian dipanaskan sehingga sebatian menjadi pekat dan terkaramel. Inilah yang banyak makan kaki rakyat Malaysia.
9.Krimer (Creamer)
Ia diperbuat daripada pepejal susu, minyak, air, gula/pemanis tiruan, emulsifier, penstabil dan pemekat. Ada yang tiada pepejal susu pun. Datang dalam bentuk cecair, ada serbuk. Pilihan yang tidak sihat.
10.Susu Bukan Tenusu(Non Dairy Milk)
Susu daripada sumber tumbuhan seperti soya, badam, santan, beras dan sebagainya. Ia biasanya digunakan oleh mereka yang alergi kepada susu, intoleran laktosa, atau vegan.
Selain itu, Kamarul juga turut menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh pengikutnya bagi mendapatkan penjelasan tentang jenis-jenis susu tersebut.
Perkongsian sebegini secara tidak langsung meningkatkan pemahaman kita tentang jenis-jenis susu yang dijual di pasaran. – UTUSAN ONLINE











