FDI suku pertama RM29.3 bilion - Utusan Malaysia

FDI suku pertama RM29.3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan bagi suku pertama 2019 (Q1 2019) melonjak 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion daripada RM16.9 bilion pada tempoh sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Kewangan (MoF) berkata, Malaysia sedang menikmati manfaat berterusan daripada lencongan perdagangan dan pelaburan berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) serta China.

Menurutnya, kenaikan jumlah FDI diluluskan bagi Q1 2019 itu dipacu oleh peningkatan pelaburan ketara sektor pembuatan yang melonjak 127 peratus kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion, tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada RM20.2 bilion FDI diluluskan dalam sektor itu, sejumlah RM11.5 bilion dari AS, RM4.4 bilion dari China dan RM2.2 bilion dari Singapura,” katanya.

MoF berkata, FDI yang diluluskan bagi Q1 2019 dijangka akan mewujudkan lebih daripada 41,200 peluang pekerjaan baharu yang mana 22,970 pekerjaan membabitkan sektor pembuatan manakala 18,000 dalam sektor perkhidmatan.

Sementara itu, pertumbuhan pengeluaran perindustrian bagi April 2019 meningkat sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun daripada 3.1 peratus dalam Mac, didorong oleh peningkatan sektor pembuatan dan pemulihan output dalam sektor perlombongan.

“Kadar pertumbuhan pada April lalu adalah yang tertinggi dalam tempoh enam bulan dan mengatasi unjuran pasaran pada 2.5 peratus menurut Bloomberg,” kata MoF.

Jelas kementerian itu, pertumbuhan tersebut berlaku ketika kadar inflasi kekal rendah dan stabil pada 0.2 peratus.

“Harga barangan asas pengguna berjaya dikurangkan di­sebabkan oleh beberapa faktor termasuk perubahan sistem cukai daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta pengenaan harga siling ke atas harga runcit RON95 dan diesel,” kata­nya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini