SAUDARA PENGARANG,
DALAM usaha memerangi rasuah dan memupuk integriti, lebih tumpuan harus diberikan kepada amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH). Saya sering ditanya bagaimana amalan tidak beretika dan rasuah menjejaskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Apakah kesan rasuah terhadap keselamatan di tempat kerja dan orang ramai? Etika, kejujuran dan akhlak adalah unsur utama konsep integriti. Di tempat kerja, mereka yang bertindak dengan penuh berintegriti akan sentiasa bertanggungjawab, telus dan boleh dipercayai dalam menjaga keselamatan.
Penjawat awam, pekerja syarikat milik kerajaan (GLC) dan mereka yang terlibat dalam sektor korporat harus sentiasa menjaga integriti dan mengelakkan amalan rasuah.
Integriti mesti ditanam apabila seseorang itu menyertai organisasi supaya menjadi sebahagian daripada identiti mereka. Jika individu bertindak dengan penuh integriti, dia akan melakukan perkara yang betul walaupun tiada penontonnya.
Menurut Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM), penghapusan penipuan adalah aspek penting dalam pengurusan keselamatan yang mampan, terutamanya dalam mengurus OSH dan kemalangan.
Berikut adalah beberapa contoh amalan penipuan yang boleh memberi kesan kepada keselamatan:
• Pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE) atau peralatan lain yang rendah kualiti atau tidak berkualiti akan meningkatkan risiko kecederaan pekerja.
• Rekod yang tidak tepat akan menyebabkan penilaian yang salah terhadap keadaan atau ciri-ciri berbahaya sesuatu produk.
• Mengambil jalan pintas, mengelakkan prosedur operasi standard (SOP), mengakibatkan amalan yang tidak selamat.
• Penyalahgunaan kuasa, mengakibatkan eksploitasi makhluk lemah bekerja dalam persekitaran kerja yang berbahaya dan kotor demi mencapai matlamat peribadi.
• Memberi kontrak kepada vendor kurang kompeten akan mewujudkan situasi bahaya dan mendedahkan pekerja kepada persekitaran berbahaya.
Tidak boleh dinafikan hanya kejujuran, integriti dan moral dapat membantu menangani masalah yang disebutkan di atas dan mencegah amalan rasuah.
Kita tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkannya menjadi budaya dalam masyarakat terutama dalam kalangan pengamal OSH. Dalam memerangi rasuah, elemen integriti, proses pentadbiran bermoral dan tingkah laku beretika harus disepadukan dalam sukatan pelajaran latihan keselamatan sedia ada.
Kita harus mendidik pengamal OSH supaya merangkul integriti dan mengingkari rasuah. Kita perlu mengajar mereka nilai-nilai moral supaya apabila berada di tempat kerja, mereka akan menyedari kepentingan tidak terlibat dengan rasuah.
Walaupun usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi rasuah dialu-alukan, amat jelas bahawa perjuangan harus bermula di semua tempat kerja.
Sebagai institut yang bertanggungjawab untuk latihan dan pendidikan keselamatan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membuat langkah penting apabila menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM tahun lepas.
Kami adalah antara 1,356 agensi dan syarikat swasta yang telah menandatangani IBR pada tahun berkenaan.
Rasuah di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan dan tindakan perlu dipergiatkan untuk menanganinya.
Rasuah dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima kerana ia memusnahkan negara, menyebabkan kesusahan kepada rakyat dan ekonomi merosot. Sekiranya ia melibatkan pengamal dan agensi OSH, ia akan mengakibatkan kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.
Kita tidak boleh tidak peduli dan berpuas hati dengan rasuah kerana ia menyerang bukan sahaja masyarakat, ekonomi dan sosial tetapi juga asas moral seseorang itu.
Usaha harus terus dibuat untuk menanamkan nilai integriti dan etika kerana orang yang berintegriti tinggi tidak mungkin terlibat dengan rasuah dalam apa jua keadaan.
Sehubungan ini, NIOSH telah mengadaptasi topik “Memandu kecemerlangan OSH dengan integriti untuk masa depan” sebagai tema Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ke-22 (COSH 2019) yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Ogos ini di Kuala Lumpur dengan penyertaan seramai 1,300 peserta.
TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi NIOSH











