LANJUTAN kepada rencana saya yang disiarkan 3 Jun lalu oleh akhbar ini, izinkan saya menyorot kembali insiden tujuh anak Muar yang memberanikan diri mengemukakan memorandum kepada baginda Sultan Johor untuk membatalkan perjanjian dimeterai baginda yang bersetuju menyerahkan kuasa pemerintahan negeri Johor kepada penjajah British. Panjang ceritanya insiden itu dan amat menarik.
Pentingnya pengajaran dari episod itu ialah bagaimana para cendekiawan Melayu berperanan menasihat pihak istana bila perlu dan pihak istana bertindak dengan bijaksana menerima teguran dan pandangan itu dalam membuat keputusan tepat.
Pada ketika itu iaitu sebelum tertubuhnya UMNO, tiada institusi wazir mewakili rakyat jelata. Istana pula tidak dapat berperanan sebagai khalifah kerana kuasa mereka telah diambil alih oleh penjajah British. Rakyat terpisah darinya
Pada ketika itulah penjajah British, yang sudah pun bertapak di negara ini, cuba mengambil kesempatan untuk terus memerintah negara ini.
Apabila Sultan Johor setuju dan akur dengan kehendak rakyat yang disuara tujuh anak Muar itu, baginda akhirnya membatalkan perjanjian yang telah dimeterai, sekali gus memberikan isyarat kepada lain-lain sultan untuk tidak menyetujui hasrat penjajah British itu.
Selamatlah negara dari terus dijajah British. Maka bermula kebangkitan orang Melayu menentang penjajah British, yang dinamakan Malayan Union. Lain-lain kaum yang bermastautin di negara ini pada ketika itu tidak menyertai usaha orang Melayu itu.
Simbolik kesepakatan dua pemegang-taruh ketika itu, istana dan cendekiawan Melayu ialah mereka sama-sama mempelopori penubuhan institusi wazir pertama, UMNO, pada 11 Mei 1946, di Istana Besar Johor, iaitu selang dua bulan selepas sekumpulan cendekiawan Melayu berhimpun selama tiga hari di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
MENJERAT MELAYU?
Itu cerita 73 tahun yang silam. Hari ini institusi wazir orang Melayu telah berkembang sama macam ekonominya, banyak tetapi semakin tidak sepakat.
Hari ini Malayan Union sudah tiada untuk dipersalahkan mengacau kesepakatan tiga pemegang-taruh utama, istana, institusi wazir dan orang Melayu.
Apabila negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah British, iaitu memperoleh kembali hak memerintah dan hak mentadbir, pihak istana berjaya mengikat penjajah British untuk menerima Wasiat Raja-Raja Melayu sebagai jaminan hak dan kepentingan orang Melayu terjamin.
Akan tetapi, penjajah British bukannya bodoh, mereka juga berjaya mengikat institusi wazir Melayu (yang ketika itu sudah memainkan peranan aktif dan signifikan) untuk menyetujui syarat, iaitu menerima lain-lain kaum yang telah bermastautin di negara ini, termasuk didatangkan ke sini oleh penjajah British, menjadi warganegara, bukan sebagai residen.
Syarat itu bunyinya mudah tetapi syarat itulah yang akhirnya menjerat orang Melayu hingga kini.
Mereka (lain-lain kaum) juga berhak menubuhkan institusi wazir sendiri dan berhak memilih wazir dalam kalangan mereka untuk terlibat dalam pentadbiran negara, walhal mereka tidak sedikit pun bersama orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union oleh penjajah British.
Orang Melayu menerima semua itu dengan penuh kerelaan, kealpaan, kecuaian dan kelalaian. Orang Melayu membiarkan institusi Istana menjadi semakin pasif dan tidak berperanan sebagai khalifah Islam yang sepatutnya memerintah. Tugas pemerintahan diserahkan hampir sepenuhnya kepada institusi wazir yang mentadbir. Orang Melayu membiarkan institusi wazirnya ‘berkembang’ membiak perpecahan.Istana dan orang Melayu semacam tergamam melihat dan membiar pelbagai salah laku dalam tadbir urus yang merugikan negara dan orang Melayu.
Istana dan orang Melayu berdiam diri membiarkan institusi wazir menghidangkan mereka dengan agenda-agenda pembangunan yang kosmetik, ibarat ‘indah khabar dari rupa’, yang tidak memanfaatkan orang Melayu.
MENANGGUK DI AIR KERUH
Institusi-institusi wazir itu sendiri terus bergolak. Lain-lain kaum, walaupun tidak semua, ibarat ‘menangguk di air keruh’, mengambil kesempatan sebanyak mungkin daripada kecelaruan semasa yang menimpa orang Melayu.
Itu bukan salah mereka, sebab mereka dikuasai oleh segelintir dalam kalangannya yang cauvinis dari golongan oportunis.
Pun orang Melayu tidak bangkit memberontak, tidak kembali berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru Kuala Lumpur, atau memanjat tangga Istana Besar Johor, mengadu nasib.
Alhamdulillah, sekalipun kecelaruan itu tidaklah mencetus huru-hara, orang Melayu mula sedar. Suara-suara keluhan mula didengari pihak istana. Sekalipun belum semua istana berbunyi lantang menegur institusi wazir dan lain-lain institusi kepentingan orang Melayu, tanda kesedaran dan keinsafan mula kelihatan.
Jika di era pra-merdeka negeri Johor diselamatkan oleh tujuh anak Muar daripada terjerat dek kelicikan penjajah British untuk merampas kuasa pemerintahan dari istana, hari ini orang Melayu sudah ada beberapa institusi wazir dan beberapa pertubuhan bukan-kerajaan dikuasainya, untuk bersuara menjaga dan melindungi kepentingan orang Melayu.
Yang ideal ialah seandainyalah semua institusi wazir itu dapat bersatu kembali ibarat ‘biduk lalu kiambang bertaut’. Itu pun tidak perlu sebenarnya, jika sekiranya mereka komited untuk bersama apabila mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu.
Secara peribadi saya berpendapat ia adalah suatu senario yang sihat jika ada dua institusi wazir di kedua-dua belah batas pemisah politik.
Dengan syarat, kedua-duanya diterajui dan dikuasai oleh orang Melayu dan kedua-duanya sepakat dalam sama-sama menjaga kepentingan dan hak orang Melayu.
Di pihak istana pula, Tuanku wajib lebih visible, lebih proaktif berperanan sebagai khalifah Islam dan sebagai check-and-balance di antara pihak Istana dengan institusi wazir yang mentadbir.
Dalam apa keadaan sekalipun pihak istana juga wajib sentiasa peka memastikan kepentingan dan hak orang Melayu sentiasa terpelihara, keharmonian dan kemakmuran mereka terjamin.
Sebagai kaukus kepada pelbagai NGO kepentingan Melayu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) peka dengan perkembangan semasa dan telah menubuhkan tujuh komuniti bagi menghimpunkan para cendekiawan Melayu.
MPM KUMPUL CENDEKIAWAN
Sebagai kelompok pemegang taruh ketiga, mereka komited untuk bersama dua lagi pemegang-taruh, institusi istana (khalifah) dan institusi politik (wazir) merencana hala tuju baru pembinaan kesepakatan orang Melayu.
Bila orang Melayu sepakat dan bersatu padu, negara akan lebih aman dan makmur. Kaum-kaum lain juga akan sama menikmati keamanan dan kemakmuran itu. Mereka tidak perlu gusar kerana orang Melayu tidak akan sisihkan mereka.
Insya-Allah, selepas Syawal ini MPM akan mengadakan perjumpaan dengan para cendekiawan Melayu yang dapat dihimpunkan setakat ini dalam tujuh komuniti yang dinyatakan itu, iaitu Komuniti Hal Ehwal Islam, Kepimpinan, Pendidikan, Ekonomi, Perlembagaan, Keselamatan dan Tanah Simpanan Melayu.
Kepada cendekiawan Melayu yang belum berkesempatan untuk bersama kami di MPM, secara terbuka saya lontarkan undangan untuk bersama kami di perjumpaan itu nanti.
Tunggulah pengumuman mengenainya dalam masa terdekat. Daripada perjumpaan itu kami akan membahagi tugas siapa di antara kami yang akan memanjat tangga istana dan siapa pula yang akan berkunjung ke semua institusi wazir orang Melayu. Sama-sama kita doakan yang terbaik dari usaha murni ini.
Sama-sama kita nantikan semua institusi istana, menerusi Majlis Raja-Raja, mengeluarkan perintah untuk semua bentuk institusi orang Melayu, baik institusi wazir, institusi hal-ehwal Islam, institusi awam, institusi ekonomi, institusi pendidikan dan lain-lain, perkemaskan dan perkasakan agenda Melayu masing-masing.
Semua institusi itu wajib kemukakan laporan berkala untuk dipersembahkan dan dilaporkan kemajuannya di setiap Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu.
Tuanku sekalian wajib bertitah dan memerintah sebagai Khalifah Islam. Para wazir merapatkan saf dengan pihak Istana dan dengan kami sekalian, rakyat biasa.
Kita terjemahkan amalan berjemaah dalam masjid mengerjakan ibadah fardu ain, menjadi amalan yang wajib dalam semua aktiviti fardu kifayah. Insya-Allah.
DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).











