Bertemu semula cinta pandang pertama selepas 75 tahun - Utusan Malaysia

Bertemu semula cinta pandang pertama selepas 75 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Seorang askar muda Amerika Syarikat (AS) jatuh cinta kepada seorang gadis berumur 18 tahun ketika dia ditempatkan di sebuah pekan kecil di Perancis semasa Perang Dunia Kedua, lapor akhbar Daily Mail.

KT Robbins berumur 24 tahun ketika dia jatuh cinta pandang pertama kepada Jeannine Ganaye, kini 92 tahun di bandar Briey, timur laut Perancis pada tahun 1944.

Pasangan itu bertemu kembali dalam suasana penuh emosi di rumah penjagaan warga emas yang dihuni Jeannine di Perancis baru-baru ini. Wanita itu kini memakai nama keluarga Pierson.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasrat Robbins, 97, untuk bertemu semula dengan kekasih hatinya itu selepas 75 tahun berlalu tercapai dengan bantuan sekumpulan wartawan Perancis.

Lelaki itu kembali ke Perancis bagi menyertai sambutan ulang tahun memperingati pendaratan tentera Berikat di Normandy, utara negara itu.

Robbins dan Jeannine saling jatuh cinta pada penghujung Perang Dunia Kedua tetapi askar AS itu terpaksa meninggalkan kekasihnya untuk menyertai pertempuran di Medan Timur.

“Saya katakan kepadanya, suatu hari nanti mungkin saya akan pulang untuk mengambil kamu, namun ia tidak berlaku,” kata Robbins kepada sebuah saluran televisyen Perancis.

“Apabila dia menaiki trak tentera dan meninggalkan saya, saya menangis kerana amat sedih. Saya berharap dia tidak kembali ke AS selepas perang tamat,” ujar Jeannine pula.

Robbins bagaimanapun pulang ke AS selepas perang berakhir dan beberapa tahun selepas itu, dia berkahwin dengan Lillian yang menjadi isterinya selama 70 tahun sebelum wanita itu meninggal dunia pada usia 92 tahun pada tahun 2015.

Jeannine juga jatuh cinta lagi dan berkahwin pada tahun 1949. Wanita itu kemudian menjadi ibu kepada lima orang anak.

Bagaimanapun, Robbins tidak pernah melupakan gadis Perancis itu, malah gambar Jeannine sentiasa disimpannya.

Bekas kekasih itu meluangkan masa bersama beberapa jam sebelum Robbins menuju ke Normandy untuk menyertai sambutan ulang tahun tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini