PORT DICKSON – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Port Dickson, Sabtu ini.
Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson dalam satu kenyataan hari ini berkata, majlis yang menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung itu juga dijangka dihadiri beberapa menteri Kabinet dan perwakilan asing.
“Majlis akan diadakan di tapak bersebelahan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson dan akan bermula dari pukul 7.45 malam sehingga 11 malam.
“Di samping menikmati pelbagai juadah, para pengunjung yang hadir juga akan dihiburkan dengan persembahan artis tempatan antaranya Datuk M. Nasir, Hail Amir, Uji Rashid, Ramlah Ram dan Syamel,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penganjuran majlis rumah terbuka tersebut dapat mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat serta berkongsi kegembiraan dengan golongan kurang bernasib baik. – UTUSAN ONLINE











