PETALING JAYA – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan terbabit membabitkan pengubahan wang haram hampir RM1.2 juta, sejak tiga tahun lalu.
Pasangan suami isteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Si suami didakwa atas lima pertuduhan menggunakan dan memindahkan wang hasil aktiviti wang haram berjumlah RM240,000 ke dalam akaun bank miliknya.
Isterinya pula didakwa atas 12 pertuduhan menggunakan dan memindahkan wang hasil aktiviti wang haram berjumlah RM850,000, ke dalam akaun suaminya dan seorang lagi individu.
Wang hasil aktiviti haram itu digunakan untuk pembayaran kad kredit, pembelian kereta mewah dan sebuah premis.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di OCBC Bank (Malaysia) cawangan Puchong, Bank Islam cawangan Bandar Kinrara, antara 3 November 2016 hingga 13 Mac 2017.
Kesemua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN ONLINE











