Di sebahagian belahan dunia, tikus buluh dianggap makanan eksotik yang mampu menyingkirkan toksin dalam badan. Tetapi bagi pemilik haiwan itu, Nurul Shima Mohd Abas, 43, Mondok dan Monti kesayangannya dianggap sebagai manja dan pembersih.
Katanya, tidak seperti tikus biasa, Mondok dan Monti tidak makan makanan kotor atau sampah. Sebaliknya ia cerdik dan akalnya panjang.
“Dulu, saya jadikan sebuah akuarium bersaiz standard sebagai ‘rumah’ mereka. Ingatkan tak boleh keluarlah sebab akuarium itu pun diperbuat daripada kaca. Tetapi, dek akal cerdik tikus ini, seekor daripadanya terlepas keluar dan rupa-rupanya, menggunakan palet serpihan kayu yang dijadikan alas semacam bukit untuk membolehkan ia mendaki dan keluar daripada akuarium itu.
“Saya tukar akuarium lain yang lebih besar, ia tolak pula bekas air dan susun supaya tinggi. Saya perhatikan sahaja tingkah laku mereka, memang bijak!,” katanya seronok berkongsi dengan Utusan Malaysia.
Ia memiliki saiz 20 kali ganda lebih besar berbanding hamster, kurang lebih separuh daripada saiz seekor kucing dewasa.

JANGAN BUANG SEMBARANGAN
Menurut Shima, dia memelihara tikus buluh kerana kasihan apabila ada individu yang kononnya menganggap diri sebagai pencinta haiwan tetapi sanggup membuang haiwan itu begitu sahaja.
“Haiwan eksotik apabila sudah besar, biasanya tidak lagi nampak comel atau manja. Segelintir orang kita pula tak tahu hendak buang di mana, sedangkan boleh diserahkan kepada jabatan perhilitan atau Zoo,” katanya.
Memandangkan secara semulajadinya tikus dianggap haiwan perosak, Shima gusar seandainya tikus peliharaannya terlepas keluar lalu merosakkan rumah orang sebab ia suka menggigit kayu, pintu dan lantai.
“Giginya panjang berbanding seekor arnab. Justeru, nasihat saya jangan buang sesuka hati sekiranya hati sudah tidak minat memelihara sebarang haiwan eksotik. Ada yang menjualnya di pasaran pada harga sekitar RM350 hingga RM400 seekor untuk anak kecil.
“Tetapi kalau ternyata memang sukakan haiwan ini, satu sahaja pesan saya, jagalah dengan hati yang ikhlas dan betul-betul kerana sayang. Jangan cuma menjaganya kerana ‘ikut-ikut’ kerana haiwan ini juga ada perasaan,” katanya.











