BENTONG 12 Jun – Jumlah kemalangan yang direkodkan dalam Op Selamat 15/2019 di negeri ini menunjukkan peningkatan kepada 1,148 kes berbanding 977 kes pada tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, bagaimanapun kes kemalangan maut dan kematian menunjukkan penurunan dalam tempoh Op Selamat kali ini.
“Dengan pertambahan jumlah kenderaan di atas jalan raya menyaksikan jumlah kemalangan yang direkodkan pada tahun ini meningkat sebanyak 171 kes berbanding tahun lalu atau 17.5 peratus.
“Namun jumlah kemalangan maut turun kepada 18 kes berbanding 22 kes pada tahun lepas manakala jumlah kematian turun kepada 20 kes berbanding 23 kes,” katanya dalam sidang akhbar sempena program penutupan Op Selamat 2019 di Plaza Tol Bentong di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan Ketua Operasi dan Penyelenggaraan Anih Berhad, Ainul Hasri Shah Abu Hassan.
Menurut Mohd. Yusri, faktor kecuaian merekodkan penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya dalam Ops Selamat 15/2019 bermula 29 Mei leoas hingga hari ini.
Daripada jumlah itu juga, kata beliau, penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 13 orang. – UTUSAN ONLINE











