IPOH – Sebanyak 22,657 saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negeri ini dalam Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan bermula 29 Mei lalu sehingga pada hari ke-14 operasi semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 13,627 saman berbanding tahun sebelumnya iaitu 36,284 saman.
“Saman yang dikeluarkan pada Op Selamat 15 kali ini memperlihatkan kesalahan memandu melebihi had laju merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 14,665 saman.
“Jumlah itu diikuti kesalahan tiada lesen memandu sebanyak 2,091 saman, tanda trafik (1,745), kemalangan (847), tali pinggang keledar (600), nombor plat (567), lampu isyarat (450), simpang jalan (450) dan alat telekomunikasi (322),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Razarudin berkata, Perak turut merekodkan 1,966 jumlah kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 15 berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 1,820 kes.
Katanya, 22 kes kemalangan maut dengan 27 kematian turut dicatatkan pada tahun ini berbanding 30 kemalangan maut dengan 31 kematian pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, jalan bandaran memperlihatkan jumlah lokasi kemalangan tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak 681 kes berbanding 565 kes pada Op Selamat 13/2018.
“Jumlah itu diikuti jalan persekutuan (511), jalan negeri (324), lebuh raya (322) dan jalan lain dengan 128 kes,” katanya.
Op Selamat 15/2019 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula pada 29 Mei lalu sehingga esok. – UTUSAN ONLINE











