Libatkan semua golongan petani, rantaian - Utusan Malaysia

Libatkan semua golongan petani, rantaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Usaha kerajaan untuk menambah pendapatan dan membela nasib pesawah di negara ini seharusnya melibatkan keseluruhan rantaian industri padi negara selain tidak melupakan golongan penoreh getah dan peneroka kelapa sawit.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman berkata, penanam padi hanyalah sebahagian daripada komponen industri pertanian, sedangkan terdapat rantaian lain termasuk pengilang beras.

Malah kata beliau, isu petak sawah semakin mengecil yang dibangkitkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya semalam, adalah satu daripada puluhan masalah sedang dihadapi oleh pesawah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selama ini kerajaan memberi subsidi yang menguntungkan pengguna dan bukannya petani. Hal demikian kerana harga beras tempatan ditetapkan manakala (beras) yang diimport diapungkan.

“Pengilang pula terpaksa menanggung kos tambahan apabila kerajaan menaikkan harga padi (untuk membantu pesawah) sehingga ada kilang beras bumiputera terpaksa ‘gulung tikar’,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara langkahnya adalah meningkatkan kaedah pertanian moden selain memperkenalkan tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Kata beliau lagi, antara masalah dihadapi mereka ialah mempunyai keluasan sawah yang terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik dan tidak efisien dalam pengeluaran hasil pertanian.

Abdul Lateh seterusnya mencadangkan agar kerajaan segera mengadakan konvensyen Peladang bagi mencari jalan menyelesaikan isu-isu melibatkan petani.

“Sudah lama konvensyen ini tidak diadakan sedangkan masalah sering berubah-ubah.

“Kerajaan juga harus menetapkan halatuju masa depan pertanian kerana sehingga kini ia masih samar. Jika harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit terus merudum, apakah tanaman yang sesuai sebagai gantian?

“Begitu juga padi, jika tidak lagi berdaya saing, kenal pasti jenis tanaman alternatif yang sesuai ditanam di kawasan sawah tetapi sekiranya ia dianggap tanaman keselamatan negara, kerajaan wajar memberi perhatian untuk membantu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini