Suami isteri cemas kereta langgar pokok tumbang - Utusan Malaysia

Suami isteri cemas kereta langgar pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT 11 Jun – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas kereta yang mereka naiki melanggar sebatang pokok kempas yang tumbang sehingga menghalang laluan Jerantut-Kuala Tahan di Kampung Paya Teratai, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Lans Koperal Ramlan Drahman, 30, dan isterinya, Norazizah Ibrahim, 27, bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan walaupun bahagian hadapan kereta Proton Exora miliknya remuk teruk.

Ramlan yang bertugas di Pondok Polis Kampung Bantal, Ulu Tembeling berkata, dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas selesai urusan di bandar ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum itu saya sudah rasa tidak sedap hati namun terpaksa pulang sebelum malam kerana perjalanan mengambil masa hampir dua jam apatah lagi hujan lebat.

“Saya memandu dengan perlahan kerana keadaan persekitaran gelap ekoran hujan lebat. Tiba-tiba kereta saya melanggar pokok yang ttumbang di atas jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana mereka berdua selamat dan tidak dapat bayangkan sekiranya pokok besar itu tumbang di atas keretanya.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang ramai yang bertungkus-lumus menyelamatkan kami,” ujarnya.

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih satu kilometer di kedua-dua arah hampir dua jam.

Sementara itu, penduduk kampung merayu agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya ekoran kejadian pokok tumbang sering berlaku di laluan berkenaan setiap kali hujan lebat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini