Malaysian Tigress kejutkan Czech - Utusan Malaysia

Malaysian Tigress kejutkan Czech

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dua hari selepas membelasah Singapura 12-0, Malaysian Tigress terus mempamer aksi cemerlang dalam kejohanan hoki Siri Akhir FIH apabila mengejutkan pasukan No. 19 dunia, Republik Czech 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, sebentar tadi.

Kemenangan kedua di Kelab Hoki Banbridge, Ireland itu mengesahkan kedudukan anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah selaku naib juara kumpulan di belakang tuan rumah.

Juara kumpulan akan meraih tiket automatik ke separuh akhir manakala naib juara perlu berdepan pasukan tangga ketiga Kumpulan B.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saingan Kumpulan B masih terbuka dengan Korea Selatan (pasukan No. 11 dunia) mengetuai saingan menerusi enam mata, diikuti Perancis (30) tiga mata, Ukraine (26) tiga mata dan Scotland (18) tanpa sebarang mata.

Korea Selatan akan bertemu Perancis pada pukul 11 malam ini, manakala Ukraine menentang Scotland pukul 1 pagi esok.

Dua pasukan yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir kemudian akan meraih slot ke playoff kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Biarpun hadir di Banbridge sebagai pasukan No. 22 dunia, skuad hoki wanita negara sudah menyerlahkan kemampuannya sejak awal apabila memaksa Ireland, yang memiliki ranking jauh lebih baik – No. 8 bekerja keras sebelum tumpas tipis 1-2 pada aksi pembukaan, Sabtu lalu.

Mereka kemudian menunjukkan taring sebenar dengan membelasah pasukan ranking ke-35, Singapura 12-0 kelmarin, sebelum melengkapkan aksi cemerlang ke atas Republik Czech.

Wan Norfaiezah Md Saiuti membuka jaringan Malaysian Tigress menerusi gol padang pada minit ke-28, namun Republik Czech tidak memberi laluan mudah buat skuad negara apabila menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Adela Lehovcova pada minit ke-47.

Gol tersebut sedikitpun tidak menyentap semangat anak-anak buah Dharma, sebaliknya mereka semakin agresif dan tidak menunggu lama untuk kembali di depan menerusi pukulan sudut penalti Fazilla Sylvester Silin tidak sampai seminit.

Fatin Shafika Mohd. Sukri melengkapkan hari gemilangan Malaysian Tigress dengan meledak gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-54. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini