PUTRAJAYA – Tiga lagi Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh dekat Gua Musang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai hari ini selepas mengalami jangkitan salur pernafasan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pertambahan pesakit itu menjadikan jumlah keseluruhan seramai empat orang termasuk seorang di ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Jelasnya, setakat ini, sebanyak 101 kes dicatatkan di kawasan termasuk dua kes kematian yang berpunca daripada jangkitan pneumonia seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 40 pesakit dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Ciku dan Aring manakala 22 pesakit masih berada di wad biasa di Hospital Gua Musang.
“Selain itu, 18 pesakit berada di was biasa di Hospital Kuala Krai, seorang di HRPZ II dan 14 kes di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) ,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Town Hall Menteri Kesihatan bersama Pengamal Perubatan Am Swasta (GPs) di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, lebih 100 penduduk Orang Asli suku Batek di kampung berkenaan bertindak meninggalkan penempatan mereka selepas berlaku beberapa kematian misteri sejak sebulan lalu.
Dua daripada kematian itu dilaporkan manakala 12 lagi tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa selepas mayat itu ditanam di dalam hutan mengikut adat tradisi mereka.
Kerajaan negeri Kelantan pulanmenyifatkan krisis kesihatan yang dihadapi masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut sebagai jangkitan penyakit biasa.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bilangan 14 orang penduduk yang dikatakan maut akibat radang paru-paru juga boleh dipersoalkan kerana yang rasmi setakat ini dua orang sahaja.
Dalam pada itu, menurut Dzulkefly pihak kementerian sedang mengenal pasti mikroorganisme yang menyebabkan jangkitan tersebut melanda kampung tersebut.
Menurut beliau, pihaknya juga sedang keputusan ujian serologi dan polymerase chain reaction (PCR) dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua hari lagi.
“Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat sekatan kemasukan orang luar di kampung tersebut. Hanya individu berkenaan sahaja yang dibenarkam masuk.
“Bagi pihak media yang membuat liputan di kawasan itu, mereka perlu melaporkan diri di klinik kesihatan untuk pemantauan selepas mereka keluar dari kawasan itu. Mereka perlu dipantau dan mungkin terkena jangkitan itu,” katanya. – K! ONLINE











