KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemukan dalam longkang berhampiran tempat letak kereta sebuah premis kelengkapan rumah di Jalan Bantu, Fajar, Tawau, Sabah petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mayat mangsa ditemukan seorang lelaki sebelum menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Pemangku Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, bertindak atas maklumat itu,sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Ujarnya, siasatan awal mendapati mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam longkang yang dipenuhi dengan semak samun.
“Pemeriksaan awal pada fizikal mangsa mendapati ada dua kesan luka tikaman pada bahagian dada sebelah kanan dan bahagian tengkuk sebelah kiri.
“Selain itu, pihak kita turut menemukan sebatang pemutar skru dan sebilah pisau berhampiran tempat mayat mangsa ditemui dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Peter memberitahu, tiada sebarang pengenalan diri ditemukan pada mayat mangsa namun jasadnya dicam oleh ahli keluarga iaitu isteri mangsa.
Jelasnya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, lelaki itu keluar rumah seorang diri untuk bersiar-siar selepas menutup warung mereka di Kampung Titingan dekat sini pada pukul 12.45 tengah malam kelmarin.
“Bagaimanapun, mangsa yang keluar dengan memandu kenderaan jenis Proton Wira berwarna merah gelap tidak pulang ke rumah sehingga mayatnya ditemukan petang semalam.
“Susulan itu, pihaknya telah menahan tiga suspek ditahan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Tambah Peter, motif kejadian masih belum diketahui dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE











