KUALA LUMPUR – Sebanyak 122 saman dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya dalam Operasi Bersepadu Halangan Lalu Lintas oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sekitar kawasan SS15, dekat sini hari ini.
Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, dalam operasi itu tindakan penguatkuasaan dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ Pindaan 2011 kepada pesalah lalu lintas.
“MPSJ turut mengenakan 10 tindakan kapit kenderaan (clamp) dan menunda dua buah kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azfarizal berkata, operasi tersebut dilakukan ekoran kesesakan lalu lintas yang kerap dilaporkan kepada pihak berkuasa itu akibat sikap segelintir pemilik kenderaan yang meletak kenderaan secara bertindan dan menghalang lalu lintas.
“Ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya di kawasan SS15, Subang Jaya untuk mematuhi peraturan lalul intas,” katanya.
Seramai 16 anggota penguat kuasa MPSJ yang diketuai oleh Penolong Pengarah (Kanan) Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Tarmidi Kadri dan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya, Deputi Superintenden (DSP), Ramsay Anak Embol serta dua pegawai trafik dan 12 anggota polis menyertai operasi itu. – UTUSAN ONLINE











