KUALA LUMPUR- Penyanyi tersohor 60-an, Datuk A. Rahman Hassan dikejarkan ke Hospital Ampang lewat malam Isnin apabila mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan pulang beraya di Kepong, semalam.
Berita itu disahkan oleh isteri beliau, Datin Fadhilah Mansor yang memberitahu suaminya itu kini ditempatkan di Unit Pengawasan Rapi (ICU) dan masih ditidurkan oleh doktor kerana keadaan jantungnya yang masih lemah.
“Kejadian berlaku sangat pantas, kami dalam perjalanan pulang daripada beraya dan singgah di stesen minyak untuk membeli roti. Sebaik sahaja keluar daripada kedai serbaneka di stesen minyak, beliau terus terduduk dan mengalami sesak nafas.
“Sewaktu dalam perjalanan ke hospital, jantung beliau terhenti beberapa saat sebelum ahli paramedik berjaya membuat Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) dan suami kembali bernafas,”katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah Fadhilah, pelantun Tak Mengapa itu kini berada dalam keadaan lebih stabil berbanding semalam dan doktor mengesahkan paru-parunya sedikit berair dan terdapat jangkitan kuman. – K! ONLINE











