TEMERLOH – Pertubuhan Jaringan Kampung Orang Asli Pahang dan Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap aktiviti perlombongan yang dikatakan tidak sah berhampiran Kampung Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang Kelantan.
Laporan itu dibuat di pejabat SPRM Temerloh oleh Ahli Jawatankuasa Jaringan Kampung Orang Asli Pahang, Shafie Dris dan Pengerusi Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Berkesinambungan Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah.
Shafie berkata, pihaknya menggesa SPRM segera melakukan siasatan ke atas semua agensi terlibat dalam memantau aktiviti perlombongan yang didakwa melanggar peraturan ditetapkan.
“Kita hendak siasatan ke atas agensi mana yang gagal memantau perlombongan itu berlaku kerana cara perlombongan itu bahaya ia mencemari semua sumber-sumber air sekitar.
“Memang ada kegagalan agensi kawal selia, itu yang kami hendak tekankan supaya SPRM siasat semua pegawai awam agar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya di sinihari ini.
Menurutnya, meskipun kematian ramai masyarakat Orang Asli berhampiran masih belum disahkan puncanya tetapi dia percaya ia turut disebabkan pencemaran.
Katanya, perlombongan bijih besi dalam skala besar yang didakwa dilakukan tanpa langkah-lankah keselamatan termasuk pembinaan kolam penahan menyebabkan air sungai mudah tercemar. – UTUSAN ONLINE











